Ketahui pro-kontra jika Kalamullah pilih KDA FC, NSFC atau Sri Pahang


  • Podium
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Pemain berusia 27 tahun itu mengharungi satu kempen cemerlang bersama PJ City FC. — Facebook/PJ City FC

KETIKA ini, pasukan Lembah Klang, Petaling Jaya (PJ) City FC seperti sedang bertarik-tali dengan masa depan mereka selepas terdapat perkhabaran mengenai pembubaran pasukan.

Perkara itu bagaimanapun ditepis pemilik, Datuk Seri Vijay Eswaran dengan menegaskan pasukan tersebut bakal berentap antara 16 pasukan Liga Super musim depan.

Namun, sehingga hari ini, masih tiada kata-kata rasmi daripadanya atau Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam mengenai status pasukan berkenaan.

Situasi itu menarik perhatian beberapa kelab Liga Malaysia dengan tonggak PJ City FC dilihat menunjukkan prestasi cemerlang mereka sepanjang musim.

Antara nama yang dikatakan sebagai tunjang kepada The Phoenix ialah penjaga gol utama, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi selepas dia bijak menggunakan ketinggiannya dalam menepis percubaan lawan.

Musim ini, ketua jurulatih, P Maniam memberikan kepercayaan penuh buat pemain berusia 27 tahun itu apabila dia diturunkan sebanyak 21 kali daripada 22 perlawanan.

Keputusan itu jelas membuahkan hasil dengan Kalamullah merekodkan sembilan 'clean sheets', sekali gus membolehkannya dipanggil ke dalam skuad kebangsaan ketika aksi Piala Raja Thailand September lalu.

Pembubaran PJ City FC pasti menyaksikan penjaga gawang berketinggian 1.78m itu antara nama awal yang bakal disambar dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sri Pahang FC dan Negeri Sembilan FC difahamkan berminat.

Hal tersebut pastinya merunsingkan pemain kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu untuk memilih destinasi terbaik dalam mengembangkan lagi bakatnya.

Oleh itu, Majoriti melihat terdapat sedikit kelebihan dan kekurangan sekiranya Kalamullah berhijrah ke setiap destinasi berdasarkan keadaan semasa pasukan masing-masing.

Kedah Darul Aman FC

Pro: Tan Sri Mohd Daud Bakar

Ogos lalu, KDA FC menerima suntikan semangat berbeza apabila usahawan berpengaruh, Tan Sri Mohd Daud Bakar diumumkan sebagai pemilik baharu skuad Sang Kenari.

Kehadirannya itu membuka peluang kepada barisan kejurulatihan akan datang untuk melakukan rombakan secara besar-besaran dengan pasukan ketika ini dilihat tidak mampu memberi saingan dalam Liga Super.

Antara posisi yang bakal berdepan perubahan adalah benteng pertahanan selepas pasukan itu dibolosi sebanyak 41 kali dalam 22 perlawanan liga dengan ia dilihat sebagai salah satu rekod tercorot musim ini.

81562837158_TBUIA

Tan Sri Daud Bakar dijangka membuat rombakan besar terhadap skuad Sang Kenari. Astro AWANI

Kalamullah pastinya menjadi antara sasaran untuk dibawa masuk selain beberapa wajah baharu yang dirasakan mampu memperkukuhkan lagi benteng pertahanan Sang Kenari.

Peluang itu pastinya sukar untuk ditolak penjaga gol Harimau Malaya itu dengan ia dapat mencerahkan lagi peluangnya untuk kekal beraksi buat skuad kebangsaan.

Selain itu, pelaburan besar yang bakal dibuat Daud Bakar pasti berjaya meningkatkan lagi reputasi dan kemampuan Kalamullah apabila dia mempunyai ruang untuk bermain bersama pertahanan berkualiti.

Selain itu, soal kemelut kewangan pastinya tidak akan timbul di bawah kepimpinan Daud Bakar, sekali gus dapat melegakan Kalamullah jika dia menyarung jersi Hijau Kuning.

Cons: Saingan di posisi

Musim ini, bekas ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak terpaksa menggunakan khidmat penjaga gol simpanan, Shahril Saa'ri berikutan kecederaan yang dialami Ifwat Akmal Che Kassim.

Perkara itu pada mulanya mendatangkan keraguan dalam kalangan penyokong Hijau Kuning selepas usianya yang mencecah 32 tahun selain jarang diturunkan.

Namun, bekas penjaga gawang Terengganu FA dan Sarawak FA itu berjaya menutup mulut orang ramai selepas dia beraksi cemerlang serta meraih empat 'clean sheets' dalam 10 aksi Liga Super.

kedahkeeper3-1024x620

Shahril (tengah) dan Ifwat (dua dari kanan) merupakan pilihan berkualiti buat KDA FC. Facebook/KDA FC

Prestasi itu pastinya disedari pihak pengurusan KDA FC dengan dia memilih untuk mengekalkan khidmatnya buat beberapa musim walaupun dengan kehadiran Ifwat.

Masalah itu pastinya mendatangkan kegelisahan buat Kalamullah yang terbuka untuk berhijrah apabila dia terpaksa berdepan tekanan untuk mendapatkan minit-minit permainan.

Pasukan kejurulatihan Sang Kenari pastinya berkeras untuk mengekalkan Ifwat selepas pemain berusia 26 tahun itu merupakan seorang graduan daripada skuad remaja.

Bagi Shahril pula, sikap keterbukaannya untuk menjadi pemain giliran juga pasti tidak disia-siakan dengan dia berjaya menggunakan setiap peluang yang diberikan.

Oleh itu, Kalamullah semestinya tertanya-tanya untuk berhijrah ke utara tanah air apabila peluang untuknya terus mengekalkan momentum atas padang bakal terkesan.

Negeri Sembilan FC

Pro: Pemergian Syihan Hazmi ke JDT

Selain berita mengenai penghijrahan Kalamullah bertiup kencang, seorang lagi penjaga gol turut dikatakan bakal mencari angin baharu ketika jendela perpindahan akan datang.

Penyarung jersi no. 22 Negeri Sembilan FC, Syihan Hazmi dikhabarkan sudah memilih Johor Darul Takzim (JDT) sebagai destinasi baharu untuknya meneruskan karier.

Tujuh perlawanan tanpa dibolosi dalam 22 aksi Liga Super cukup untuk menaikkan nama pemain tersebut sebagai prospek terhangat dalam kalangan pasukan gergasi Liga Malaysia.

4CC24D40-8605-4294-BFAE-1499A10AB8F4

Prestasi cemerlang Syihan menarik perhatian gergasi besar Liga Malaysia, terutamanya JDT. Facebook/Negeri Sembilan FC

Tidak cukup dengan itu, kehebatan Syihan ketika menggalas tanggungjawab di peringkat antarabangsa turut menerima pujian demi pujian daripada penyokong bola sepak tanah air.

Jadi, tidak timbul sebarang persoalan mengenai minat yang ditunjukkan pihak pengurusan Harimau Selatn, lebih-lebih lagi dengan kapten pasukan, Farizal Marlias menghampiri penghujung kariernya.

Perkara itu pastinya disedari penyokong skuad Jang, lantas mula menimbulkan khabar angin bahawa Kalamullah merupakan pilihan utama untuk menggantikan Syihan untuk musim depan.

Berita tersebut pastinya diterima baik Kalamullah apabila kehadirannya ke Negeri Sembilan FC tidak akan memberi banyak saingan untuknya terus tampil dalam kesebelasan utama.

Cons: Tanggungjawab besar

Negeri Sembilan FC merupakan pasukan yang mengejutkan orang ramai musim ini selepas mereka berjaya menamatkan musim di tangga keempat selain beraksi cemerlang di atas padang.

Kejayaan itu dilihat berpunca daripada sentuhan ketua jurulatih, K Devan yang berjaya menerapkan ideologi dan taktikalnya berdasarkan kemampuan barisan pemain.

Bagaimanapun, salah satu perubahan yang dibawa adalah dengan mengukuhkan lagi benteng pertahanan, termasuk menambah baik kemampuan penjaga gawang.

Perkara itu dibuktikan apabila skuad Jang merekodkan salah satu prestasi pertahanan terbaik selepas hanya dibolosi sebanyak 26 kali dalam 22 aksi Liga Super.

WhatsApp Image 2022-11-10 at 21.53.54

Mampukah Kalamullah (kanan) menggantikan Syihan di Negeri Sembilan FC musim depan? Agensi

Oleh itu, sekiranya Kalamullah memilih untuk menjadikan juara Liga Super 2006 itu sebagai destinasi berikutnya, dia pasti akan menyedari akan tanggungjawab yang besar untuk digalas.

Meskipun pemain itu mempunyai satu musim yang cemerlang dengan sembilan 'clean sheets', tekanan pasti akan turut dirasai dengan penyokong pasti berhasrat untuk melihat pencapaian mereka diteruskan.

Selain itu, terdapat juga kemungkinan bahawa perbandingan bakal dibuat penyokong setia skuad Jang antara kedua-dua pemain kebangsaan itu, sekali gus mencipta tekanan lebih besar buat Kalamullah.

Sri Pahang FC

Pro: Kurang tekanan

Sri Pahang FC merupakan salah satu pasukan yang mengharungi satu kempen mengecewakan selepas hanya mampu menduduki tangga ketujuh dengan hanya lapan kemenangan dicatatkan.

Meskipun mempunyai barisan serangan berkualiti, termasuk Steven Rodriguez dan Manuel Hidalgo, isu pertahanan yang tidak kukuh kerap kali mengecewakan pasukan itu.

Antara nama-nama yang sering dipetik sebagai gagal untuk mengekang serangan lawan ialah penjaga gol, Mamadou Samassa yang dibolosi sebanyak 29 kali dalam 21 aksi liga.

306360544_5581462511914397_9153105761293613289_n

Penyokong mula berharap Samassa (kiri) digantikan untuk musim depan. Facebook/Sri Pahang FC

Perkara itu jelas menerima tohmahan daripada penyokong Tok Gajah yang berharap pihak pengurusan tidak mengambil keputusan untuk menyambung kontraknya musim depan.

Mereka juga pastinya terbuka untuk mendapatkan pengganti berkaliber ketika jendela perpindahan dalam usaha memastikan pemain kelahiran Mali itu tidak kekal bersama Sri Pahang.

Jadi, sekiranya Kalamullah memilih pasukan tersebut sebagai langkah untuknya terus membina reputasi, dia pastinya tidak menerima tekanan hebat daripada penyokong.

Selain itu, pencapaian dan prestasi konsistennya atas padang juga pasti disenangi selepas mereka dilihat gagal untuk mencari penjaga gawang berkualiti sejak penghijrahan Khairulazhan Khalid pada 2016.

Cons: Kerapuhan benteng pertahanan

Seperti dibincangkan awal tadi, kemerosotan Sri Pahang berpunca daripada kesukaran barisan pertahanan untuk menyekat serangan pihak lawan sehingga terlalu mudah dibolosi.

Perkara itu adalah berikutan kesilapan individu yang sering dilakukan selain pendekatan ketua jurulatih, Datuk Dollah Salleh sering dijadikan alasan.

Segelintir penyokong turut berbelah bagi akan kemampuan pertahanan Tok Gajah dengan berasakan masalah itu akan menjadi bebanan besar buat mana-mana penjaga gawang.

300377493_5523107971083185_3197791440073099413_n

Sri Pahang terlalu ampuh di posisi pertahanan sepanjang musim. Facebook/Sri Pahang FC

Oleh itu, sekiranya Kalamullah menyertai juara Piala Malaysia empat kali itu, dia pasti sukar untuk meneruskan rentak dan momentum yang diraih musim ini.

Masalah itu pastinya menghantui penjaga gawang PJ City tersebut untuk menyertai Sri Pahang FC selepas ia mampu merobohkan reputasi yang dibinanya musim ini.

Di samping itu, pilihan itu juga dilihat akan menutup peluangnya untuk beraksi dalam skuad Harimau Malaya, lebih-lebih lagi selepas melayakkan diri ke Piala Asia 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram