Pakar treble yakin gandingan trio mampu bantu JDT ikut jejak Kedah, Kelantan


  • Podium
  • Khamis, 10 Nov 2022

JDT sudah merangkul dua piala utama Liga Malaysia musim 2022 iaitu juara Liga Super dan Piala FA.

JOHOR Darul Takzim (JDT) semakin hampir untuk mencapai gelaran treble pertama mereka selepas melakukan transformasi bola sepak sejak 2014.

Kelab Harimau Selatan itu mendominasi kejuaraan terulung Liga Malaysia itu di bawah kepimpinan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan menyaksikan gelaran Liga Super gagal dicabar kelab lain sejak tahun tersebut.

Musim ini, JDT sudah merangkul gelaran Liga Super dan Piala FA, dan kini misi memburu piala ketiga iaitu Piala Malaysia semakin hampir apabila Harimau Selatan melangkah mudah ke peringkat suku akhir.

Jika berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia, JDT akan mengikut jejak Kedah Darul Aman (KDA) FC (Kedah FA) dan Kelantan FC (Kelantan FA) yang pernah memenangi gelaran treble itu.

Kedah menjadi satu-satunya kelab memenangi gelaran double treble pada 2007 dan 2008 di bawah kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah manakala Kelantan mencapai gelaran itu pada 2012.

Kedah Treble

Azraai membantu Kedah memenangi gelaran double treble.

Mengulas mengenai peluang JDT itu, Azraai yakin kelab Harimau Selatan tersebut memiliki peluang untuk mencapai gelaran tersebut buat kali pertama.

Namun dia memberi amaran kepada JDT bahawa sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam bola sepak terutamanya dalam saingan Piala Malaysia.

Musim lepas, JDT terlepas peluang untuk merangkul Piala Malaysia selepas tewas kepada Kuala Lumpur (KL) City dalam perlawanan akhir.

Tetapi pada musim ini, Azraai mengakui terdapat perbezaan yang ketara dalam skuad JDT.

"Bagi saya, apa yang saya nampak menjelang Piala Malaysia 2022, sudah tentu, rata-rata menyatakan JDT boleh berjaya.

"Saya percaya tiada yang mustahil dalam bola sepak. Tahun lepas punya final, saya dah guna ayat, KL City akan jadi juara

"Tapi apa yang penting adalah persediaan pasukan untuk sampai ke tahap itu tanpa sebarang gangguan," katanya dalam siri wawancara khas bersama MFL.

Kelantan Treble

Kelantan memenangi gelaran treble pada 2012.

Azraai berkata, skuad JDT pada musim ini merupakan pasukan yang terbaik pernah diwujudkan sejak 2013.

Malah dia yakin JDT mampu merealisasikan untuk mencapai gelaran treble pada musim ini.

"Dengan kemampun sekarang, saya yakin JDT mampu capai treble.

"Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva. Dua penyerang ini saya rasa, gandingan terbaik dalam liga kita. Tiada siapa mampu sentuh kecemerlangan mereka.

"Tetapi kita juga ada baka tempatan iaitu Arif Aiman," katanya merujuk kepada kemampuan bakat muda JDT itu untuk membantu pasukannya merangkul Piala Malaysia pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram