MASALAH kejatuhan prestasi skuad Sabah FC sehingga berjaya dipintas pasukan Terengganu FC dalam saingan Liga Super musim ini bukan lagi satu misteri buat peminat bola sepak tempatan.
'Ketenatan' pada bahagian jentera serangan amat ketara apabila pemain pertahanan tengah dari Korea Selatan, Park Tae-soo terpaksa mengambil alih tugas menyumbatkan gol di gawang lawan.
Semua ini berlaku kerana 'senjata' yang diharapkan ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee iaitu Jose Embalo tidak mampu mempamerkan aksi cemerlang seperti dalam 'resume' miliknya.
Rentetan itu, nama calon pemain bakal memegang posisi penting tersebut mula tersebar di ruang media sosial sehingga menjadi buah mulut dalam kalangan penyokong-penyokong tempatan khususnya peminat fanatik The Rhinos.
Terbaharu, nama pemain import pasukan Pantai Timur, Jacob Njoku dipetik sebagai pemain idaman pengurusan Sabah FC bagi memperkuatkan bahagian serangan Sang Badak.
Pemain dari Nigeria tersebut bakal digandingkan bersama pemain PJ City, Darren Lok sekiranya mereka berdua bersetuju untuk menyertai skuad bimbingan Kim Swee musim depan.
Bersama Kelantan United FC, Jacob telah menyumbat enam gol dalam sembilan penampilannya di Liga Perdana sekali gus mampu menjadi aset buat Sabah FC.
Jacob sarung jersi Kelantan United pada awal musim lalu.
Penyokong Sabah FC, Mohd Zukhairi Abdullah berpendapat gandingan Darren dan Jacob bakal menjadi jawapan kepada masalah yang membelenggu skuad Sang Badak.
"Darren merupakan seorang penjaring yang pandai mencuri peluang (poacher) manakala Jacob pula penyerang yang suka menggelecek bola (dribbler). Kalau dua-dua bergabung, pasti padu!" katanya.
"Ini dia harapan penyokong Sabah. Gelecek bola laju. Harap Kim Swee ambil dia masuk ke dalam team," Tambah Yutirin.
Dairey Donny pula berkata: "Bagus ni daripada Embalo. Bagus Sabah ambil import yang sudah lama main di Malaysia. Sudah serasi dengan liga kita." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram