PERJUANGAN Kedah dalam saingan Liga Malaysia musim 2022 terhenti pada aksi timbal balik kedua pusingan 16 saingan Piala Malaysia 2022 setelah tewas kepada Negeri sembilan FC (NSFC) dengan keputusan agregat 1-2.
Biarpun gagal melanjutkan langkah ke suku akhir, Kedah berjaya mematahkan 'sumpahan' kekalahan berturut-turut yang dialami mereka sepanjang enam perlawanan sebelumnya apabila mengikat Negeri Sembilan FC dengan keputusan 0-0 pada aksi kedua.
Kemerosotan prestasi Sang Kenari pada tahun ini merupakan antara tercorot sejak kebelakangan ini.
Kaeadaan itu membuatkan skuad Hijau Kuning semakin jauh daripada reputasi mereka sebagai pasukan yang pernah mmerangkul gelaran double treble suatu ketika dahulu.
Untuk mencipta skrip berbeza musim depan, pengurusan Kedah berjanji akan membawa revolusi baharu termasuk rombakan dalam barisan kejurulatihan dan barisan pemain agar nafas baharu dapat disuntik ke dalam skuad tersebut.
Namun, di saat beberapa pasukan lain seperti Selangor FC dan Perak FC sudah mula melantik jurulatih baharu, Kedah yang menamatkan kerjasama dengan Aidil Sharin Sahak masih lagi kunci mulut berkenaan penggantinya.
Ini membuatkan penyokong Kedah berasa tidak senang duduk dengan status pemain-pemain bintang mereka yang berpotensi untuk menyambar tawaran pasukan lain sekiranya pengurusan Kedah masih lagi mahu bermain teka-teki.
Tangkap layar pendedahan pemerhati sukan, T. Avineshwaran yang menyebabkan penyokong Sang Kenari tidak senang duduk.
Antara pemain tersebut adalah pemain sayap kiri import mereka, Mahmoud Al Mardi yang menjadi tonggak di sebalik mata dikutip Kedah musim ini dengan sembilan gol serta tujuh bantuan gol dalam 18 penampilan mereka.
Al Mardi dilaporkan bukan sahaja menerima tawaran daripada kelab-kelab domestik, malah turut menjadi idaman kelab-kelab di Jordan dan Arab Saudi, seperti mana didedahkan pemerhati sukan, T. Avineshwaran di Twitter.
Tinjauan Majoriti di laman transfermarkt mendapati kontrak pemain berusia 29 tahun itu bersama Kedah bakal tamat hujung bulan ini.
Penyokong Sang Kenari, Pak Ndak Hafiz berasa Al Mardi masih mahu menyumbang bakti di bumi jelapang padi tersebut, namun kelambatan pihak pengurusan membuat keputusan bakal menyebabkan pemain itu tawar hati.
"Al-Mardi memang berminat nak serta Kedah lagi tahun depan, tetapi pihak pengurusan tidak beri sebarang kata putus boleh buat pemain bosan. Terlambat nanti, pasukan lain dah sambar dahulu," katanya.
Muhamad Hazim Ayassi menyambung: "Tolong simpan dia (Al-Mardi) ni. Rugi kalau lepas, pengganti pun belum tentu boleh bagi impak sama macam dia."
"Kalau dia ni pinjaman pun, boleh pre-kontrak sebelum habis musim. Sebab itu ada tawaran dari luar. Kesimpulannya pengurusan Kedah lembab," dakwa Shah Ozil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram