Muhyiddin umum bertanding 169 kerusi Parlimen, guna 2 bendera berbeza


  • Politik
  • Selasa, 01 Nov 2022

Selain Bersatu dan PAS, PN juga dianggotai Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

PERIKATAN Nasional (PN) pada Selasa mengumumkan 169 calon bertanding ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang bakal berlangsung pada 19 November ini.

Majlis yang diadakan diadakan di MITEC (Malaysia International Trade Exhibition Centre), Kuala Lumpur, itu dihadiri beberapa pucuk pimpinan parti termasuk pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Dominic Lau Hoe Chai.

Turut hadir, barisan tertinggi PN iaitu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Selain Bersatu dan PAS, PN juga dianggotai Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Dalam majlis tersebut, Muhyiddin kekal mempertahankan kerusinya di Pagoh sekali gus menjadikan kerusi tersebut sebagai kerusi calon Perdana Menteri sekiranya PN menang.

Menarik, Dr. Muhammad Faiz Naaman bakal dipertandingkan di kerusi Bagan Datuk, Perak sekali gus menjadi pencabar pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Harun diumumkan sebagai calon gabungan itu bagi kerusi Parlimen Sepang.

Azmin Ali pula kekal bertanding di kerusi Gombak manakala Datuk Ermieyati Samsudin mewakili PN di Masjid Tanah.

Secara keseluruhan, Bersatu bertanding 74 kerusi Parlimen; PAS (64); Gerakan (20); dan kumpulan bersekutu (11).

Pada masa sama, Muhyiddin turut mengumumkan bahawa Kelantan dan Terengganu, bendera yang digunakan adalah bendera bulan (PAS) manakala di negeri lain, jentera-jentera PN akan menggunakan bendera rasmi PN.

Untuk Kelantan dan Terengganu, penamaan calon akan diadakan pada tarikh yang akan diumumkan kemudian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram