Muncul pencabar kelab gergasi Liga Super 2023, 3 posisi penting TRW wajib diisi calon import berwibawa


  • Podium
  • Selasa, 01 Nov 2022

Norizam meletakkan sasaran muncul 10 kelab terbaik untuk saingan Liga Super musim depan. — Facebook/TRW

IMPIAN Kelantan FC untuk menjulang trofi Liga Perdana 2022 tidak kesampaian setelah gagal mengekalkan prestasi cemerlang pada pengakhiran musim sebelum dipintas pasukan Johor Darul Takzim II (JDT II).

Biarpun begitu, kejayaan skuad The Red Warriors (TRW) untuk berada di tempat kedua Liga Perdana masih boleh dianggap membanggakan setelah mereka dirundum masalah prestasi ekoran isu tunggakan gaji berlanjutan pada musim-musim terdahulu.

Bagi saingan 2023, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang mesra disapa Zamsaham mengumumkan penyasaran realistik buat Kelantan FC untuk menamatkan saingan sebagai 10 pasukan terbaik Liga Super.

Sasaran itu diberi kerana Norizam akur dengan kehadiran pasukan-pasukan gergasi yang pasti akan memberikan saingan sengit kepada pemain-pemainnya memandangkan bagi merebut tempat teratas liga tersebut.

Justeru, bagi memastikan skuad bimbingan Rezal Zambery Yahya tidak mudah 'diratah' nama-nama besar, penyokong TRW menyenaraikan agar posisi-posisi berikut diisi oleh pemain Import.

Posisi ini dikaji dari kekuatan pasukan juara liga (JDT) yang dijadikan penanda aras terhadap kekuatan pasukan-pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M).

Nixon Guylherme dikatakan dilanda kecederaan dan isu kecergasan sehingga menyebabkan dia tidak dapat diturunkan dengan lebih kerap. — Facebook/TRW Kelantan FC

1. Bek kiri

Posisi ini merupakan antara posisi terpenting kerana pasukan-pasukan Liga Malaysia memiliki pemain-pemain sayap lincah yang sudah tentu sedia mengucar-kacirkan pertahan lawan di bahagian kiri.

Antaranya adalah Arif Aiman Hanapi di JDT sementara sumbangan tonggak Terengganu FC, Faisal Halim juga tidak boleh dipandang rendah.

Justeru, kehadiran pemain import di posisi itu boleh mematahkan kelincahan pemain sayap lawan sekali gus menyelamatkan gawang daripada dibolosi.

2. Penyerang sayap kanan

Tugas penyerang sayap kanan adalah memudahkan penyerang tengah untuk menjaringkan gol, namun halangan daripada pertahanan kiri pasukan lawan sering menjadi penghalang kepada misi tersebut.

Selain itu, gerak-geri mereka di sayap serangan juga memainkan peranan penting buat pasukan dalam menguji benteng pertahanan lawan.

Justeru, pemain import wajar diletakkan pada posisi ini agar dapat menekan pertahanan lawan dan membuka ruang diperlukan agar kawalan bola tidak beralih kaki.

Setakat ini, pemain Harimau Malaya, Corbin Ong dianggap sebagai pemain pertahanan kiri terbaik Liga M dan seorang pemain sayap kanan berkualiti pasti diharapkan bagi menembusi kekebalan benteng kelab gergasi Liga Super seperti JDT.

3. Penyerang tengah

Ketumpulan penyerang import, Nixon Guylherme menyaksikan dia tidak lagi relevan untuk kekal bersama TRW buat musim akan datang.

Selain itu, masalah kecederaan juga menyaksikan tanggungjawab serangan diletakkan di bahu pemain tempatan, Nurshamil Abd Ghani walaupun dia tidak berada dalam tahap kecergasan terbaik musim ini.

Seorang lagi penyerang import Kelantan FC, Kervens Belfort turut perlu ditukar setelah tidak menyumbangkan sebarang gol sepanjang musim ini.

Oleh itu, penyokong setia pasukan Pantai Timur itu mula mengharapkan terdapat wajah baharu di posisi tersebut dalam membolehkan skuad itu menyudahkan segala peluang keemasan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram