KEMENANGAN tipis 1-0 yang dicatatkan Selangor FC ketika berdepan Kelantan United FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada Selasa sudah cukup untuk menempah tiket mereka ke suku akhir.
Gol sendiri yang dijaringkan pemain Kijang Hijau, Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-90 permainan memberi kelegaan buat skaud Gergasi Merah yang mara dengan agregat 3-0.
Kemaraan itu bermakna anak-anak buah Tan Cheng Hoe masih meneruskan usaha mereka dalam memburu kejuaraan Piala Malaysia kali ke-34 selepas kali terakhir menjulang trofi itu pada 2015.
Selain itu, sekiranya mereka berjaya muncul sebagai juara, Selangor FC bakal menemani Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC ke pentas Asia tahun depan.
Jadi, tidak hairanlah sekiranya pasukan Lembah Klang itu bakal menunjukkan semangat berkobar-kobar ketika berdepan Negeri Sembilan FC dalam peringkat suku akhir nanti.
Bagaimanapun, kesungguhan pemain atas padang mula dipersoalkan penyokong setia pasukan ketika pertembungan dengan Kelantan United apabila penyokong kelihatan kurang berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan.
Penyokong berpendapat aksi skuad Gergasi Merah adalah yang paling mengecewakan sejak Cheng Hoe mengambil alih. — Facebook/Selangor FC
Seorang penyokong bola sepak tempatan, Syawalul Mohd Sani berkata, terdapat tiga perkara yang perlu ditambah baik sekiranya mereka mahu melepasi ujian ketika berdepan skuad Jang kelak.
"Pada saya, yang pertama perlu ditambah baik adalah untuk menambah baik kreativiti berhampiran kotak penalti lawan dan (kedua) setiap hantaran perlu dibuat dengan lebih baik.
"Saya juga rasa bahawa bahagian serangan yang diketuai Caion dan pemain sayap lain perlu lebih klinikal setiap kali menerima peluang cerah," katanya.
Perkara itu turut diutarakan Romy Ramli yang tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa selepas menyaksikan persembahan lemah longlai daripada barisan pemain.
"Kecewa dengan permainan malam ini. Pada saya, kalau hendak memberi ancaman kepada Negeri Sembilan FC, mereka perlu mempunyai semangat juang yang tinggi," katanya.
Sementara itu, Asror Muhammadiah turut berpendapat gaya permainan yang ditampilkan pemain Gergasi Merah ketika berdepan Kelantan United adalah kurang kemas sejak Cheng Hoe mengambil alih.
"Sepanjang di bawah kendalian ketua jurulatih baharu ini, saya nampak ini adalah perlawanan paling teruk walaupun catat kemenangan. Tolonglah bermain lebih elok selepas ini," katanya.
Ahad ini, Selangor FC bakal menerima kunjungan anak-anak buah K Devan di laman sendiri sebelum bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk aksi timbal balik pada 12 November. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram