KEJAYAAN Selangor FC untuk mencatatkan kemenangan ke atas pasukan Liga Perdana, Kelantan United FC dalam saingan Piala Malaysia mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan.
Taktikal dan kesebelasan utama yang diturunkan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe terus menerima pujian dengan skuad Gergasi Merah hanya selangkah untuk ke peringkat suku akhir.
Persembahan itu turut menyaksikan beberapa tonggak pasukan berjaya mencuri hati penyokong terutamanya penyerang kelahiran Brazil, Herlison Caion yang berjaya menjaringkan dua gol.
Bagaimanapun, di sebalik pujian itu penjaga gol, Khairulazhan Khalid tampil dengan mudah mengecewakan hati pemain dan penyokong Kijang Hijau di laman sendiri.
Meskipun dia jarang diturunkan dalam saingan Liga Super, penjaga gawang berusia 32 tahun itu beraksi dengan cemerlang dalam menepis percubaan demi percubaan pihak lawan.
Adakah Khairulazhan bakal diturunkan dalam aksi timbal balik pada Isnin? — Facebook/Selangor FC
Selain itu, komunikasi antaranya dan benteng pertahanan berjaya memastikan gawangnya tidak dibolosi, sekali gus memudahkan kemaraan Selangor FC dalam kejohanan itu.
Jadi, dengan pertembungan selepas ini bakal diadakan di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, penyokong mula meluahkan hasrat mereka untuk melihat aksi bekas pemain Pahang FA itu.
"Khairulazhan ini pada saya, memang padu dan saya secara peribadinya lebih berminat antaranya berbanding Sam Sommervile," kata Syafiq Mafrow.
"Selamat pulang Khairulazhan, saya harap persembahan itu dapat diteruskan dan syabas saya katakan kepada Selangor FC secara keseluruhan," kata Mohd Nazry Mohamed.
"Pada saya, OK-lah juga Khairulazhan kerana dia dapat menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya, tetapi biasalah kalau ada kesilapan dalam perlawanan pertama," kata Khuzaimi Piee.
Bekas penjaga gol kebangsaan itu sebelum ini pernah menerima kritikan hebat selepas dibolosi sebanyak lima kali ketika berdepan juara Liga Super, Johor Darul Takzim.
Sejak itu, barisan kejurulatihan meletakkan kepercayaan penuh terhadap Sommervile dengan pemain itu serba sedikit menambah baik kualiti dan kemampuan benteng pertahanan.
Bagaimanapun, dia kelihatan mula mendapatkan sentuhan emasnya semula ketika perlawanan Rabu lalu, sekali gus menerima pujian menggunung daripada penyokong setia Gergasi Merah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram