PENYANDANG naib juara Liga Super, Terengganu FC (TFC) mempamerkan aksi dominan apabila menewaskan Sri Pahang FC 5-1 dalam perlawanan pertama pusingan kalah mati kempen Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan, pada Khamis.
Bintang import dari Liberia, Kpah Sherman muncul penggempur berbisa buat skuad Sang Penyu selepas meledak hatrik pada perlawanan tersebut.
Pada babak pertama perlawanan, pemain berusia 30 tahun itu membuka jaringan seawal minit pertama menewaskan penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa menerusi rembatan tepat ke gawang Tok Gajah.
Kpah menambah derita Pahang apabila mencipta jaringan keempat dan kelima buat Terengganu, masing-masing pada minit ke-52 dan minit ke-90.
Dua lagi gol Pahang disumbangkan oleh Nik Sharif Haseefy dan Faisal Halim masing-masing pada minit ke-2 dan ke-49.
Ngah Wanja tidak dapat memberikan aksi terbaik kerana kecederaan yang dialami. — Facebook
Kpah muncul pemain pertama mencetak hatrik pada kempen Piala Malaysia musim ini. Kecemerlangan yang ditunjukkan tonggak TFC itu mencuri perhatian dan menjadi bualan penyokong bola sepak tempatan.
Lantas nama Kpah turut 'berterbangan' dalam khabar angin perpindahan pemain Liga Malaysia bagi musim depan yang sedang bertiup kencang ketika ini.
Pemain berketinggian 1.88 meter itu dirasakan boleh mengisi kelompangan bahagian serangan untuk sekurang-kurangnya tiga kelab Liga Super yang berdepan ketumpulan penyudah.
Ketika ini, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bergelut di bahagian serangan berikutan ketiadaan Syafiq Ahmad yang dipendekkan tempoh pinjaman dan kembali ke Johor Darul Takzim (JDT).
Situasi tersebut menyebabkan Ronald Ngah Wanja sering diturunkan secara sendirian sebagai penyerang utama pasukan.
Aksi Kpah pastinya dirindui penyokong Kedah memandangkan pemain itu beraksi selama dua musim dengan pasukan itu sejak 2020.
Justeru, jika Ronald Ngah Wanja kekal bersama Sang Kenari musim depan, gandingannya dengan Kpah pasti akan membuatkan barisan serangan Hijau Kuning lebih mantap pada musim depan.
Embalo masih tidak menunjukkan sebarang peningkatan sejak menyertai Sabah FC, Jun lalu. — Facebook
Selain itu, Sabah FC antara salah sebuah kelab yang bergelut di bahagian serangan selepas import The Rhinos, Jose Embalo dikatakan kurang menyengat.
Pemain dari Guinea-Bissau itu masih tidak menunjukkan sebarang peningkatan sejak menyertai Sabah FC pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia Jun lalu.
Oleh itu, khidmatnya amat ditagih Sang Badak lagi-lagi gandingannya di TFC, Tchetche Kipre turut dikaitkan dengan kelab Borneo itu.
Caion (melutut) yang dahulunya mendapat kecaman penyokong Gergasi Merah dilihat berjaya menambat semula hati peminat Selangor. — Facebook
Kpah juga dirasakan boleh bermain di Selangor FC yang mendapat sentuhan jurulatih baharu, Tan Cheng Hoe.
Ketika ini, The Red Giants hanya bergantung kepada penyerang Brazil, Herlison Caion sebagai target man pasukan.
Kehadiran Kpah yang mencetak sembilan gol bersama TFC setakat ini dirasakan dapat memperkuatkan skuad itu sebagai antara pencabar utama pada musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram