MASIH segar di memori penyokong tempatan di saat pasukan Johor Darul Takzim muncul sebagai kelab pertama negara yang menjuarai Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) setelah menewaskan juara bertahan Liga Tajikistan, Istiklol FC 1-0 pada 2015.
Kini, detik tersebut mampu diulangi di laman sendiri menerusi pasukan KL City FC yang berjaya mengejutkan ramai pihak apabila berjaya memenangi satu perlawanan demi satu perlawanan untuk tiba di pentas final Piala AFC 2022 pada Sabtu.
Cuma kali ini, kehadiran pemain-pemain antarabangsa Oman dalam pasukan Al-Seeb itu diramalkan bakal menyukarkan misi anak-anak buah Bojan Hodak untuk mencapai status juara.
Ini kerana kekuatan barisan pemain Al-Seeb tidak dapat disangkal memandangkan pasukan kebangsaan Oman kini berada di ranking ke-75 dunia sedangkan pasukan Malaysia berada di ranking ke-146.
Namun persepsi itu ditepis bekas pemain bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir yang menegaskan bahawa ranking bukanlah penentu mutu permainan pada hari kejadian terutama apabila kelebihan tuan rumah berpihak kepada KL City FC.
"Peluang kemenangan lebih kepada KL City FC kerana mereka telah sampai ke final, sudah pasti mereka akan 'all out'. Cuaca juga akan memainkan peranan memandangkan mereka perlu beradaptasi dengan cuaca kita.
Fizikal pasukan Al-Seeb bukan lagi ancaman memandangkan pasukan tempatan memiliki pemain sosok yang sama. — Agensi
"Sekarang ini pun sering hujan dan panas. Jadi, ranking bukan penentu mutlak sama ada satu-satu pasukan tersebut bakal mendapat kemenangan mudah," jelasnya kepada Majoriti.
Mengulas mengenai perbezaan fizikal antara dua pasukan, Jamal menganggap perkara itu bukan lagi satu isu seperti pernah dia lalui ketika bergelar pemain bola sepak negara pada suatu ketika dahulu.
"Mereka (Al-Seeb) hanya 'gah' pada fizikal. Tidak dinafikan, sosok badan pemain Timur Tengah ini lebih besar berbanding pemain-pemain tempatan dan itu pernah menjadi satu kelebihan buat mereka.
"Tapi sekarang, dalam pasukan kita juga sudah ada mat salleh. Jadi, kat situ kita dah boleh 'counter' balik. Ingat waktu JDT lawan KL City FC pada Piala Malaysia tahun lalu?
"Walaupun bukan pasukan pilihan namun mereka berjaya tumbangkan JDT 2-0. Bola sepak bukan bergantung pada ranking sahaja. Saya yakin kemenangan milik KL City FC," katanya.
Perlawanan akhir antara KL City FC dan Al- Seeb FC bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram