HEBOH di kem penyokong Sabah FC bahawa penyerang berbisa Terengganu, Tchetche Kipre bakal menjadi penyelesai masalah ketumpulan di bahagian serangan mereka pada musim hadapan.
Semuanya gara-gara satu hantaran yang dimuat naik pemain berusia 34 tahun tersebut di laman Instagram miliknya yang memberi bayangan bahawa dia akan meneruskan khidmat di bumi Malaysia, namun kali ini di bahagian Borneo tanah air.
Dalam pendedahan terbabit, Kipre memuat-naik gambar bendera Malaysia bersama bendera Sabah dengan kapsyen, "Ini adalah Malaysia dan ‘destinasi seterusnya."
Sebagai rekod, Kipre memulakan karier di Liga Malaysia bersama skuad Penyu selama tiga musim dan berhijrah ke Kedah untuk dua tahun sebelum kembali ke Terengganu pada 2022.
Kehadirannya ternyata memberi impak positif dengan meledakkan 13 gol dan satu bantuan gol dalam 14 penampilannya bersama skuad kendalian Nafuzi Zain.
Bersama skuad pengendali dari Kelantan itu juga, Kipre mencipta rekod cemerlang apabila berjaya membantu skuad Penyu menduduki tangga kedua Liga Super, sekali gus layak ke Piala AFC musim hadapan selain membawa Terengganu ke pentas akhir Piala FA walaupun tewas kepada JDT.
Muat naik Kipre yang memberi bayangan bahawa dia bakal ke Sabah FC.
Kehilangan tersebut menyuramkan kem penyokong Terengganu setelah berita pemain sayap lincah kesayangan mereka, Faisal Halim turut memberi pelbagai 'hint' bahawa dia sedang mempertimbangkan masa depannya dengan pasukan lain.
Namun, bagi sesetengah penyokong memegang pada perumpamaan 'patah tumbuh hilang berganti' apabila mereka ligat memikirkan pemain yang boleh menggantikan tempat penyerang dari Ivory Coast tersebut.
Penyokong Terengganu FC, Zulkifli Imran menyebut nama pemain import Melaka United, Sony Norde sebagai calon terbaik untuk menggantikan Kipre seandainya benar dia bakal bersama skuad Sang Badak.
"Tak apalah. Kalau orang nak pergi. Kipre sudah lama di sini (Terengganu) dan mungkin perlu 'tukar angin' untuk karier dia. Saya cadangkan Terengganu FC untuk ambil Sony untuk ganti," katanya.
Cadangan itu disambut Muad Imran yang menyambut: "Posisi sebetulnya adalah di bahagian tengah menyerang. Tapi dia (Sony) boleh main kiri pon boleh, kanan pon boleh. Tak ada masalah langsung," katanya.
Tambah Aina Basil : "Dan dia ni antara penggerak utama dalam Melaka United FC sebelum ni. Cuma, itulah, Melaka ada masalah gaji. Kalau datang Terengganu, mungkin boleh 'perform' lagi baik."
Sebagai rekod, Sony mencatatkan dua gol dan lima bantuan gol dalam 14 penampilannya bersama skuad Hang Tuah pada musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram