'Jangan politik isu gaji, libatkan KDA FC dalam manifesto PRU15'


  • Podium
  • Ahad, 23 Okt 2022

Penyokong hanya mahu yang terbaik untuk skuad Sang Kenari. — Facebook/ KDA FC

PERPISAHAN Aidil Sharin Sahak dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berakhir dengan kontroversi apabila kenyataan pendek bekas ketua jurulatih Sang Kenari itu baru-baru ini seakan-akan membuka pekung di dada kelab tersebut.

Semuanya gara-gara tindakan Aidil membalas sindiran seorang penyokong Kedah, @handredball yang mengatakan pengendali berusia 45 tahun tersebut bernasib baik kerana KDA FC masih mampu bersabar akan prestasi merundum skuad tersebut ketika berada di bawah kendaliannya.

Mungkin niat membela diri, jurulatih kelahiran Singapura itu mendedahkan bahawa dia pernah tidak menerima bayaran selama lima bulan ketika mengendalikan skuad Sang Kenari.

Perbalahan antara dua individu di laman Instagram itu telah merebak sehingga mendapat respons daripada pihak pengurusan KDA FC yang menafikan perkara itu menerusi laman media sosial rasmi mereka.

Satu kenyataan balas Aidil di laman Instagram telah menghangatkan topik sehingga mendapat perhatian pelbagai pihak. Facebook/ Kedahdarulamanfc.com.

Namun, penafian tersebut gagal memadamkan kehangatan isu tersebut sehingga mendapat perhatian Pemuda Umno Kedah, Syed Mohd Johan Rizal yang turut memuat naik kenyataan sindiran di laman Facebooknya.

"Depa habaq (mereka bagitahu) dan dan gaji KDA FC masuk hari ini (Jumaat). Oooooooooo.....!" beserta hashtag #panaihtakpajangankoyak.

Kenyataan itu dipercayai dibuat Syed Mohd untuk ditujukan kepada Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor yang juga merupakan ahli politik Parti Islam Malaysia (PAS).

Situasi itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan penyokong Sang Kenari yang tidak mahu kelab kesayangan mereka menjadi modal politik terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 nanti.

Menerusi laman Facebook Kedahan green yellow, penyokong tegar skuad Hijau Kuning secara umumnya meluahkan kekesalannya terhadap tindakan ahli politik Kedah yang selama ini tidak prihatin tentang situasi kelab tersebut, tetapi tiba-tiba mahu 'menumpang' atas isu berkaitan mereka.

Tangkap layar kenyataan Syed Mohd Johan Rizal di laman Facebook.

"Untuk pemimpin politik dalam negeri Kedah. Tak kira daripada parti mana pun. Kita faham. Nak dekat pilihan raya mestilah perlu kempen cari isu, buat isu untuk modal kempen.

"Janganlah guna KDA FC sebagai modal kempen pilihan raya. KDA FC dah jadi syarikat hak milikan individu yang tak ada kena mengena dengan parti politik dan pemimpin politik.

"Sudahlah isu yang dibangkitkan pun tidak kena gaya. Ni aku nasihat. Dari nak tunjuk kata kita prihatin tapi akhinya nampak macam sebenarnya kita tak ambil tahu pun apa yang dah jadi kat kelab.

"Carilah isu lain. Belambak lagi isu lain ada. Bab pengurusan KDA FC jangan masuk campur. Kalaulah nak jugak guna isu bola sepak. Buatlah manifesto kalau dapat perintah.

"Contohnya seperti: 'Kami akan renovate (ubah suai) Stadium Darulaman jadi macam (Stadium) Santiago Bernabeu (di Madrid, Sepanyol)'," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram