'INDAH khabar dari rupa' demikian kenyataan paling tepat bagi menggambarkan kualiti pemain-pemain import yang dibawa masuk ke dalam kancah Liga Malaysia.
Kebanyakan mereka tidak dapat memberikan persembahan seperti dijanjikan sekali gus membuatkan pelaburan yang ditaburkan ke atas mereka lebur bersama bakat mereka.
Sebagai contoh, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mengesahkan bahawa pihaknya menghantar surat amaran kepada pemain import Kelantan, Nixon Brizolara dan Kenta Hara ekoran prestasi tidak memuaskan.
Di Sabah pula, kehadiran penyerang sensasi, Jose Embalo hanya dapat menyumbangkan satu gol buat Sabah setelah bertungkus lumus selama tujuh penampilan bersama skuad Sang Badak.
Ini membuatkan ramai tertanya-tanya bagaimana pemilihan pemain import dilakukan atau adakah kepercayaan 'membabi buta' kepada agen pencari bakat membuatkan kelab-kelab di Malaysia sering ditipu?
Terdapat juga dakwaan mengatakan pemilihan pemain dilakukan dengan menonton aksi pemain-pemain ini di laman Youtube bagi menjimatkan kos dan masa.
Kelibat Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan-Gon sering kelihatan pada saingan peringkat kelab bagi memantau pemain-pemain yang bakal ditarik ke skuad Harimau Malaya. — Facebook/Harimau Malaya
Bagi bekas pemain kebangsaan dan juga bekas Jurulatih Sri Pahang FC, Jamal Nasir menyifatkan tindakan tidak turun padang ketika pencarian dan pemilihan bakat adalah cara paling mudah kena 'scam' atau ditipu.
"Dalam Youtube, tak semestinya prestasi terbaharu pemain tersebut. Kadang-kadang dah beberapa tahun lepas punya baru muat naik. Ini pernah berlaku, bila bawa ke Malaysia, pemain tersebut tidak boleh main kerana dah alami kecederaan berpanjangan.
"Kita perlu tengok dia main aksi perlawanan separuh akhir, baru boleh lihat bakat sebenar dia. Kalau setakat panggil pemain itu ke sini untuk perlawanan persahabatan, pasti dia akan tunjuk bagus, tapi akhirnya mereka itu pemain biasa sahaja.
"Itu yang berlaku dengan pemain-pemain import kita kecuali beberapa pemain import Johor Darul Takzim. Sekarang ini kita banyak pakai ejen dan mereka akan bawa video-video pemain untuk ditunjukkan kepada kelab. Cari sendiri itu memang tidak ada," katanya kepada Majoriti.
Pemantau bakat dari JDT yang kelihatan di sebuah kejohanan yang berlangsung di Alor Setar pada Julai lalu. — Facebook/Khairil Ajhar
Menurutnya, kelab-kelab seharusnya menyediakan satu pasukan teknikal khas yang boleh terbang ke destinasi pemain dalam radar tersebut dan lihatnya bermain dalam situasi yang sebenar.
Cara ini boleh mengelakkan kelab terlalu bergantung pada ejen-ejen yang sudah pasti menanam tebu di tepi bibir.
"Saya pernah lakukan pencarian bakat sewaktu saya memegang portfolio naib presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang pada tahun 90-an. Saya pergi ke Australia untuk melihat dua pemain bermain di saingan separuh akhir.
"Saya tengok perlawanan, saya ambil video mereka dan saya berbincang dengan pemain-pemain ini sebelum bawa ke pihak pengurusan. Dan pemain-pemain ini bermain dengan baik di liga kita. Seorang pemain tengah dan seorang lagi di posisi penyerang.
"Kalau kita nak sambil lewa sahaja, baik beri tumpuan kepada pemain-pemain tempatan sahaja," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram