Melaka United 'bergegau', hilang 4 import tinggalkan Ifedayo bersendirian


  • Podium
  • Khamis, 15 Sep 2022

Ifedayo dijangka menjadi satu-satunya pemain import yang tampil pada perlawanan menentang KL City pada Khamis. — Facebook/ MUFC

'SUDAH jatuh ditimpa tangga' merupakan perumpamaan paling tepat bagi menggambarkan situasi Melaka United FC (MUFC) apabila dilaporkan bakal tempang pada aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur (KL) City, Khamis.

Menurut ciapan yang dikongsi wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, skuad Hang Tuah telah kehilangan empat pemain import mereka iaitu Emmanuel Oti, Justin Baas, Adriano Narcizo dan Sony Norde.

Pemain Ghana, Emmanuel dan pemain Filipina, Justin dilaporkan telah membuat keputusan untuk 'membatalkan kontrak' bersama skuad kendalian Mohd Asri Ninggal itu.

Sementara itu, pemain Brazil, Adriano Narcizo masih lagi direhatkan ekoran masalah kecederaan yang dialami menghalangnya daripada turun padang selama lapan minggu.

Dalam perkembangan yang sama, pemain Haiti, Sony Norde dikatakan telah membuat laporan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkenaan isu gaji yang dihadapi skuad Sang Kancil itu.

Ini bermakna hanya seorang sahaja pemain import yang akan diturunkan pada perlawanan menentang 'The City Boys' atau Kuala Lumpur City FC pada Khamis iaitu bintang Nigeria, Ifedayo Olusegun.

Penyokong risau akan masa depan skuad tersebut.Facebook/ MUFC

Ini bukan kali pertama Melaka turun tanpa import kerana pada perlawanan menentang Terengganu FC pada 3 September lalu, situasi sama turut berlaku dan Asri memilih untuk mengunci mulut mengenai status pemain-pemain importnya ketika itu.

Pada perlawanan tersebut, jentera serangan Melaka United tumpul dan banyak percubaan tidak menjadi sekali gus menyebabkan mereka mudah mudah diratah apabila tewas 0-5 skuad kendalian Nafuzi Zain.

Melihat kepada situasi tersebut, para penyokong Melaka United bukan sahaja meramalkan kekalahan pada aksi Liga Super, malah bersedia dengan kemusnahan pasukan tersebut yang dikatakan bakal mengikuti jejak pasukan Perlis FA.

"Dah masuk FIFA kalau tidak selesai juga, habis bungkuslah pasukan ini," kata Mohd Saipol Mohd Aris.

Ridwan Rani menyampuk: "Ini yang kita mahukan. Nak hancur biar sampai lunyai. Biar bubar terus senang."

"Ifedayo tu gaji mahal. Siapa yang bayar gaji dia?" persoal Darwin Nunas.

Sebagai rekod, Perlis FA bermula dengan masalah sama iaitu tunggakan gaji dan akhirnya menerima kesan digantung oleh FIFA sekali gus terkubur pada 2019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram