'Macam panglima perang,' kehadiran Daud Bakar beri sinar buat Sang Kenari


  • Podium
  • Selasa, 25 Okt 2022

Daud Bakar (kiri) dilihat sebagai individu yang bakal membawa Sang Kenari keluar daripada kemelut yang dihadapi. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

MASALAH demi masalah mula menimpa Kedah Darul Aman (KDA) FC setelah mengharungi satu kempen yang mengecewakan di bawah kendalian bekas ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak.

Kedudukan kelapan dalam Liga Super membuktikan kesukaran skuad Sang Kenari untuk bersaing dengan pasukan tempatan yang lain meskipun sebelum ini mudah menepis segala cabaran.

Selain itu, penyingkiran memalukan di tangan wakil Indonesia, PSM Makassar di peringkat separuh akhir Zon Asean Piala AFC mengeruhkan lagi keadaan kelab itu.

Di luar padang pula, pelbagai isu timbul sehingga menjejaskan reputasi pasukan utara tanah air itu dengan surat tunggakan pembayaran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN) menjadi salah satu bahan bualan hangat kebelakangan ini.

Penyokong setia Hijau Kuning seolah-olah mula menerima tohmahan yang dilontarkan ke arah mereka dengan rasa malu akan nasib pasukan itu.

Bagaimanapun, hal itu tidaklah seburuk yang disangka apabila tinjauan di media sosial memaparkan bahawa terdapat satu sinar harapan di sebalik kemerosotan ketika ini.

Menurut satu hantaran di laman Facebook Kedahan green yellow, seorang penyokong melihat kehadiran pemilik baharu, Tan Sri Mohd Daud Bakar mampu mengubah takdir pasukan dalam tempoh akan datang.

"Satu yang positifnya sekarang ini, KDA FC cepat mengeluarkan kenyataan kalau ada satu-satu isu yang berbangkit dan kita sendiri juga boleh perasan Tan Sri sendiri akan kemas kini setiap perlawanan KDA FC dan perkembangan kelab," tulisnya.

September lalu, Daud diumumkan sebagai pemegang saham majoriti Sang Kenari selepas tahun lalu dilantik sebagai penaung kelab dalam menambah baik kerja-kerja pentadbiran pasukan.

Usahawan berusia 57 tahun itu bukanlah satu nama yang asing dalam negara selepas pernah memegang pelbagai jawatan tinggi, termasuk menjadi Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia.

310990441_520636446564377_6708331535953977053_n

KDA FC bergelut dengan prestasi sendiri ketika ini. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Jadi, tidak mendatangkan sebarang tanda tanya sekiranya peminat tegar KDA FC mula percaya bahawa sumbangan dan kehadiran Daud bakal mengubah nasib pasukan.

Perkara itu mula dirasai sebelum ini apabila beliau sendiri pernah menghadiri sesi pertemuan antara pihak pengurusan dan kelab penyokong bagi mengenal pasti hala tuju pasukan.

Tambah penyokong tegar itu, dia juga percaya setiap musibah yang menimpa ke atas pasukan pasti akan membuahkan hasil bermakna, lebih-lebih lagi sekiranya diberikan masa dan peluang.

"Aku yakin, perkara-perkara yang sudah terjadi kepada KDA FC sekarang ini akan menjadi penambah semangat untuk Daud dan KDA FC memantapkan kelab pada masa depan," katanya.

Luahan ringkas penyokong itu jelas menerima tindak balas yang baik daripada mereka yang lain dengan Nur Alisha Inara mahu memberi kerjasama penuh demi kebaikan kelab.

"Pedulikan sahaja dengan suara-suara mereka yang tidak bermakna. Kita pulun (usaha) dan jaga kelab kita kerana kalau bukan kita yang bangkit bersama, siapa lagi yang nak diharapkan," katanya.

Akiulu Akiulu juga menyuarakan perasaannya dengan memberi pujian besar ke atas gaya pemikiran figura tersebut serta berharap tahun-tahun kegemilangan KDA FC dapat dikembalikan.

"Saya memang suka dengan mindset Tan Sri, inilah panglima perang yang digeruni. Pertuturannya berlapik, mindanya menerobos cakerawala dan serangannya senyap, syabas Tan Sri," tulisnya pula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram