Borong prospek muda saja tak cukup, fans Perak FC mahu 'transfer window' diguna sebaik mungkin


  • Podium
  • Sabtu, 22 Okt 2022

Penyokong TBG mengharapkan pemain senior berwibawa dapat dibawa masuk ketika jendela perpindahan dibuka kelak. — Facebook/Perak Football Club

KEJAYAAN Perak FC untuk mengikat pengendali sensasi, Lim Teong Kim membuktikan keazaman pemilik baharu dalam membawa satu era baharu buat skuad The Bos Gaurus (TBG) musim depan.

Masalah pengurusan yang dialami pada 2018 hingga awal tahun ini menyaksikan pasukan itu terpaksa akur melihat penghijrahan keluar beberapa tonggak pasukan seperti Brendan Gan dan Shahrul Saad.

Lebih teruk lagi, prestasi terumbang-ambing dalam Liga Super akhirnya memakan diri apabila pasukan itu akhirnya jatuh ke kancah Liga Perdana pada 2021.

Sejak itu, mereka semakin bergelut dengan musim ini menyaksikan skuad kendalian Yusri Che Lah mengakhiri saingan liga di tangga kesembilan dengan hanya lapan mata berjaya dikumpul.

Namun, dengan suntikan baharu daripada jenema telekomunikasi, XOX Berhad menerusi anak syarikat, XOX Pro Sport Sdn Bhd membantu membawa semula harapan kepada juara Piala Malaysia 2018 itu.

Kerjasama yang dilakukan dengan kelab Jerman, Wolfsburg FC membolehkan pemain muda dilatih secara lebih sistematik serta meningkatkan lagi reputasi pasukan.

Selain itu, Perak FC mula menunjukkan semangat mereka apabila sudah membawa masuk dua produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Ilham Aqil dan Harith Naem Jaineh.

WhatsApp Image 2022-10-22 at 12.55.29

Kehadiran Ilham (kiri) dan Harith Naem membawa keterujaan kepada penyokong. — Facebook/Perak Football Club

Perkara itu sepertinya menepati misi Teong Kim yang juga merupakan bekas pengarah AMD serta cukup dikenali dengan reputasi sebagai jurulatih pasukan simpanan dan remaja.

Bagi penyokong pula, segelintir daripada mereka berasakan perkara itu adalah langkah yang bijak apabila sumbangan mereka mampu ditagih untuk satu jangka masa panjang.

Namun, menerusi beberapa komen di media sosial, ada juga yang berpendapat pengambilan pemain perlu bersifat seimbang bagi memastikan pasukan dapat bersaing dengan lebih baik.

"Kena juga ada pemain berpengalaman di posisi-posisi tertentu untuk bimbing bakat-bakat muda ini ditambah pula dengan pemain import yang berkualiti," kata Arie Typenk.

"Saya memang setuju untuka ambil pemain muda itu, tetapi perlu juga ada pemain senior kerana mereka ada pengalaman tersendiri. Cuma, jangan diambil yang terlalu tua," kata Van Havensing.

"Saya rasa langkah untuk mengambil pemain-pemain muda itu adalah bijak tetapi mereka yang lebih senior tetap perlu ada," kata Che Malek.

Perak FC kekal bersaing di liga teratas domestik musim depan selepas pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan satu perubahan format dengan 18 pasukan berbanding 12 ketika ini.

Peluang itu pastinya digunakan sebaik mungkin pasukan serta penyokong apabila skuad TBG pernah muncul sebagai salah satu pasukan yang mencabar kejuaraan liga beberapa tahun sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram