'Trust the process', keberanian Teong Kim mula dapat aura positif


  • Podium
  • Isnin, 17 Okt 2022

Kedatangan Teong Kim dalam skuad TBG seakan-akan membawa nafas baharu buat pasukan itu. — Facebook/Perak Football Club

SELEPAS memulakan kempen kejurulatihannya dengan kekalahan pertama di tangan kelab M3, ketua jurulatih Perak FC, Lim Teong Kim dilihat mula berhasil menerap falsafah dan pendekatan bola sepaknya dalam pasukan itu.

Kemenangan tipis yang dicatat di Stadium Perak, Ipoh ketika perlawanan persahabatan menentang satu lagi pasukan Liga Perdana, Kelantan United FC membuka mata penyokong bola sepak tempatan, terutama peminat tegar The Bos Gaurus (TBG).

Dalam pertembungan itu, penyerang muda, Hakimi Isa berjaya mencipta perbezaan antara kedua-dua pasukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-35 permainan.

Bagaimanapun, apa yang menariknya dalam permainan itu adalah keputusan ketua jurulatih kelahiran Melaka itu untuk menampilkan barisan pemain muda dalam kesebelasan utama.

310433413_181512531095797_2455794022542040107_n

Sepakan penalti Hakimi Isa membantu Teong Kim meraih kemenangan pertamanya. Facebook/Perak Football Club

Pemain seperti Nasrol Amri dan Aris Asri diberi kepercayaan oleh Teong Kim dan keputusan itu dilihat membuahkan hasil apabila mereka beraksi dengan baik.

Kemenangan itu pastinya membawa keriangan kepada penyokong TBG dengan majoriti daripada mereka mula meletakkan harapan dan kepercayaan kepada Teong Kim.

Seorang penyokong, Bro Em berkata, sokongan padu perlu diberikan terhadap Teong Kim, lebih-lebih lagi apabila dia baru sahaja mengambil alih tugasan kejurulatihan pasukan itu.

"Trust the process kerana pasukan ini tidak menurunkan kumpulan pemain terbaik. Nanti, apabila sudah menampilkan pemain berkualiti dan import kelas A, bertambah baiklah Perak FC," katanya.

Pandangan itu disokong Saidussyahiran Wahap yang melihat terdapat penambahbaikan pemain dan pasukan secara keseluruhan berbanding kekalahan yang dialami dalam perlawanan persahabatan sebelum ini.

"Permainan yang bagus dan banyak pemain bertambah baik jika hendak dinilai dengan sebelum ini. Cuma, jentera serangan sahaja yang belum nampak ada penyerang boleh diharap dalam Perak FC," katanya.

Mohamadzharifikram Zharifikram pula berkata, dia akan terus menyokong pasukan itu dan berharap lebih banyak perlawanan persahabatan boleh dianjurkan pihak pengurusan.

"Alhamdulillah, saya nampak pemain sudah ada keberanian dan boleh ada keserasian antara satu sama lain. Tetapi, perlukan ada lagi perlawanan persahabatan seperti ini supaya boleh dilihat prestasi kesemua mereka," katanya.

Perak FC berpeluang beraksi di Liga Super musim depan selepas pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan terdapat perubahan struktur dan format liga.

Perkara itu pastinya membawa lebih banyak keghairahan kepada penyokong apabila pasukan itu berada di bawah pemilikan baharu, XOX Berhad menerusi anak syarikatnya, XOX Pro Sport Sdn Bhd. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram