'Sama taraf gelek macam Arif Aiman', rekrut ke-2 Perak FC anggap bersama LTK satu penghormatan


  • Podium
  • Selasa, 18 Okt 2022

Ilham Aqil merupakan antara produk AMD seperti rekrut pertama Perak FC, Harith Naem. — Facebook

PERAK FC semakin merungkai teka-teki penyokong tentang identiti pemain-pemain baharu yang dibawa masuk ke skuad The Bos Gaurus pada musim depan.

Selepas mengumumkan rekrut pertama, Harith Naem Jaineh, Perak FC pada Isnin mengesahkan seorang lagi produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) diserap masuk ke dalam projek Perak FC yang dirangka jurulatih Lim Teong Kim.

Seperti Harith Naem, Ilham Aqil adalah graduan AMD yang bakal berpeluang beraksi bersama skuad Piala Presiden dan Liga Simpanan Perak FC dalam membangunkan bakat sedia ada di dalam dirinya.

"Ilham Aqil menandatangani bersama Perak FC musim hadapan di mana pasukan The Bos Gaurus sedang memperkuatkan bahagian tengah di antara pemain-pemain muda.

"Ilham Aqil perlu bekerja keras dalam pasukan yang diterajui Teong Kim untuk memastikan dia berada di skuad utama," tulis laman rasmi Perak Football Club.

311839456_181728304407553_8957240161192929190_n

Ilham Aqil sah menjadi rekrut kedua Perak FC selepas Harith Naem. — Facebook

Bekas pemain muda UITM FC yang berusia 19 tahun itu dilihat bakal berperanan sebagai pemain sayap dalam pasukan.

"Saya gembira dan tak sabar nak beraksi dengan Perak FC. Satu lagi bermain di bawah coach Teong Kim ni, its an honour juga bagi saya," katanya dalam sedutan video yang dimuat naik di Facebook Perak FC.

Seorang penyokong, Meor Mohamad Amirul berpendapat, tidak mustahil buat Ilham Aqil untuk bermain bersama skuad utama Perak FC.

Namun, pemain muda itu perlukan masa untuk mencapai potensi sebenar dan prestasi terbaiknya semula.

"Bersama skuad Piala Presiden UiTM FC, Ilham Aqil hanya beraksi sebanyak tiga kali dan ketiga-tiganya hadir sebagai pemain simpanan yang dibawa masuk," katanya.

87200520_794207024400614_4521821258052009984_n

Ilham Aqil mungkin berpeluang beraksi bersama skuad Piala Presiden dan Liga Simpanan Perak FC. — Facebook

Nama Ilham Aqil muncul pada perlawanan pertama fan kedua Piala Presiden 2022 tetapi 'hilang' sebelum muncul kembali pada perlawanan kesembilan yang juga perlawanan terakhir kejohanan tersebut buat UiTM FC.

Sebanyak 56 minit permainan dikumpulnya bagi musim 2022 tetapi pemain itu mempunyai CV yang cukup bagus dalam penglibatan bola sepaknya semasa kanak-kanak dan remaja.

"Ini anak murid LTK. Sama saja dengan Harith Naem. Budak ni sama taraf 'gelek' dengan Arif Aiman (pemain Johor Darul Takzim).

"Sama saja 'kecik cinonet' macam Arif Aiman. Cuma pengalaman membezakan. Bagi la peluang budak-budak ni cipta nama," tulis Redzuan Alias.

Mohamad Rafidy pula meninggalkan komen, "Tak apa, semoga maju jaya.., mana tahu boleh menyerlah seperti Arif Aiman." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram