TERENGGANU (TFC) membawa misi wajib menang apabila bertandang ke Stadium Darul Aman, Alor Setar berdepan tuan rumah Kedah Darul Aman FC (KDA) pada aksi terakhir Liga Super musim ini, pada Sabtu.
Pertemuan di gelanggang lawan itu menjadi detik penting buat skuad Penyu dalam perebutan slot ke pentas Piala Konfederasi Asia (AFC) musim depan.
Ketua Jurulatih TFC, Nafuzi Zain berkata, beliau menyedari cabaran getir bakal dihadapi anak buahnya dalam usaha meraih tiga mata berharga di bumi jelapang padi.
"Sudah tentu saya menjangkakan tentangan sengit daripada Kedah malam esok. Mereka pasti cuba yang terbaik untuk menang pada aksi terakhir di hadapan penyokong sendiri.
"Malah Kedah juga memiliki pemain berkualiti seperti Fayadh Zulkifli, Ronald Ngah Wanja dan Mahmoud Mardi yang menjadi ancaman buat pertahanan Terengganu," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.
Perlawanan menentang KDA FC penentu untuk slot ke pentas Piala AFC musim depan. — Facebook/TFC
Nafuzi berkata, rekod cemerlang lapan perlawanan berturut-turut tanpa kalah bukan jaminan untuk TFC terus kebal pada perlawanan menentang skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak itu.
"Semua usaha keras kita musim ini bergantung sepenuhnya kepada perlawanan malam esok yang akan menentukan sama ada kita layak ke pentas AFC tahun depan. Jangan sia-sia dan musnahkan peluang yang kita bina sejak awal. Bermainlah bermati-matian umpama kita beraksi di final," katanya.
Sementara itu, mengenai percaturan menentang KDA FC, Nafuzi berkata, tiada rombakan besar dilakukan terhadap skuad utama kerana mereka sentiasa memberikan persembahan terbaik dan berada dalam prestasi memberangsangkan ketika ini.
"Semua pemain saya tidak kira tempatan atau import sentiasa memberi yang terbaik ketika diturunkan. Tidak perlu perubahan besar-besaran (skuad utama).
"Kalau ada pun hanya satu dua pertukaran untuk beri peluang kepada lebih ramai pemain beraksi atas padang dan mendapatkan minit permainan," katanya yang lega kerana semua pemain bebas daripada kecederaan atau layangan kad. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram