Nasib Nafuzi Zain diketahui 25 Oktober


  • Podium
  • Sabtu, 15 Okt 2022

Masa depan Nafuzi dengan TFC akan diketahui dua minggu lagi. — Facebook/TFC

KEDUDUKAN Nafuzi Zain selaku Ketua Jurulatih Terengganu (TFC) pada musim hadapan akan diketahui dua minggu lagi.

Keputusan tersebut dimaklumkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Menurut Ahmad Samsuri masa depan Nafuzi sama ada kekal mengendali skuad Penyu atau sebaliknya akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club Sdn Bhd selepas sambutan perayaan Deepavali pada 25 Oktober ini.

"Saya ikuti perkembangan semasa yang berlaku. Berhubung kedudukan jurulatih TFC (Nafuzi) kita tengoklah 25 hari bulan ini.

"Perkembangan sukan ini macam pasaran saham juga, ada naik ada turun. Apa jua perkembangannya kami akan bincang dan putuskan (kontrak Nafuzi) dalam mesyuarat lembaga pengarah itu nanti," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah kejohanan bola sepak Terengganu Football League di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Sabtu.

Difahamkan kontrak nafuzi bersama skuad Penyu bakal tamat pada 30 Nov depan. Malah nafuzi sebelum ini turut membayangkan bahawa musim ini adalah tahun terakhirnya membimbing pasukan Hitam Putih kerana tidak menerima sebarang tawaran lanjutan kontrak daripada pihak pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd.

Perkara itu mencetuskan desakan daripada penyokong bola sepak Terengganu yang mahukan pengendali berusia 44 tahun itu terus kekal selepas kejayaannya membawa TFC ke pentas akhir Piala FA.

Susulan itu, Ahmad Samsuri meminta supaya peminat bola sepak negeri bersabar dan tidak menimbulkan sebarang spekulasi lagi kerana dibimbangi boleh menjejaskan tumpuan pasukan mengharungi Liga Malaysia (Liga M) yang masih belum tiba di penghujung.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata pihaknya akan meneliti ganjaran yang sesuai sekiranya skuad Penyu layak beraksi di Piala Konfederasi Asia (AFC) tahun depan.

"Apabila ada pencapaian tertentu mestilah ada sesuatu insentif yang akan diberikan. Itu perkara biasa.

"Tetapi kami belum bincang apakah bentuk insentif itu. Yang penting pemain perlu buktikan kemenangan menentang Kedah malam ini untuk mendapat tiket ke Piala AFC," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram