Nafuzi dah asah senjata pastikan TFC melangkah ke pentas Asia


  • Podium
  • Jumaat, 14 Okt 2022

TFC perlu menggunakan peluang sebaiknya untuk mencatatkan kemenangan bagi merealisasikan impian mereka ke Piala AFC musim depan. — Facebook

AKSI terakhir Liga Super musim ini pastinya menjanjikan persembahan mengujakan daripada tiga pasukan yang bakal berebut kedudukan tangga kedua, ketiga dan keempat.

Ini kerana ketiga-tiga pasukan akan bersaing secara sengit bagi merebut slot layak ke Piala AFC yang diberikan kepada pasukan di tangga kedua dan ketiga liga selepas Johor Darul Takzim berjaya menjuarai saingan Piala FA musim ini.

Apa yang menariknya, ketiga-tiga pasukan tersebut hanya dipisahkan dengan satu mata yang mana Sabah mengumpul 42 mata manakala Terengganu FC (TFC) dan Negeri Sembilan (NSFC) masing-masing 41 mata.

Dalam hal ini, mana-mana pasukan yang menang dapat menambah tiga lagi mata berharga seterusnya berpeluang untuk mengubah kedudukan tersebut pada aksi terakhir liga.

Buat masa ini, TFC yang berada di tangga ketiga Liga Super dengan 41 mata dilihat mempunyai peluang cerah untuk mendapatkan slot layak ke Piala AFC musim depan.

311490070_1570083323422343_6295263685534851899_n

TFC berjaya mendapat lapan kemenangan berturut-turut di saingan Liga Super. — Facebook

Seperti TFC, NSFC juga berpeluang menempah tiket ke kejohanan antarabangsa itu atas kelebihan bermain di laman sendiri.

Sabah pula yang akan menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim dirasakan berdepan jalan berliku untuk mengutip mata kerana sukar menggugat kedudukan JDT sebagai juara sembilan kali berturut-turut Liga Super.

Bagi TFC, skuad Sang Penyu dijadual bertemu dengan pasukan Kedah Darul Aman FC pada perlawanan terakhir liga pada 15 Oktober ini.

TFC yang berjaya mendapat lapan kemenangan berturut-turut di saingan Liga Super dilihat kurang masalah untuk menundukkan Sang Kenari walaupun di tempat lawan.

Tambahan lagi, lawan mereka menghadapi empat kekalahan berturut-turut serta gagal mempamerkan aksi yang konsisten.

311451922_511681470840352_1793928383859045957_n

NSFC berpeluang menempah tiket ke kejohanan Piala AFC atas kelebihan bermain di laman sendiri. — Facebook

Ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain perlu menggunakan peluang sebaiknya untuk mencatatkan kemenangan bagi merealisasikan impian mereka ke Piala AFC musim depan.

Pengendali muda berusia 44 tahun itu berkata, barisan pemain dituntut melancarkan serangan dan meledak gol seawal mungkin dalam misi melangkah ke pentas Asia musim depan.

"Saya mahu anak-anak buah saya mempamerkan aksi terbaik seperti mereka di pentas final.

"Saya tuntut pemain beraksi ibarat perlawanan akhir untuk merebut trofi kerana keputusan dalam perlawanan itu nanti bakal menentukan sama ada kita layak ke AFC ataupun sebaliknya, jika kita menang, sudah pasti salah satu slot menjadi milik kita," katanya kepada Majoriti.

310652120_3360491557531287_3834299678011559535_n

Sabah berdepan jalan sukar untuk menundukkan juara bertahan, JDT. — Facebook

Ketika ditanya mengenai jentera serangan skuad Hijau Kuning, jurulatih kelahiran Kelantan itu mengakui penyudah pasukan lawan cukup tajam terutama penyerang import, Ronald Ngah Wanja.

"Walaupun skuad Kenari gagal mengutip sebarang mata dalam empat aksi terakhirnya, namun barisan penyerang mereka agak berbahaya terutamanya beraksi di stadium mereka, ini sudah pasti bakal memberi ancaman kepada kita.

"Tetapi saya percaya dengan pemain yang bakal diturunkan nanti, rekod kemenangan dalam lapan perlawanan berturut-turut sebelum ini selepas aksi final Piala FA, akan memberi motivasi terbaik," katanya.

Sementara itu, Nafuzi menambah, semua pemain bebas daripada sebarang kecederaan dan penggantungan yang bakal menyaksikan skuad terbaik akan diturunkan dalam aksi terakhir berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram