Terlepas slot automatik ke AFC, 'fans' Sabah petik 3 pemain muda cemerlang lawan JDT


  • Podium
  • Ahad, 16 Okt 2022

Antara detik Hanafie sewaktu perlawanan Sabah menentang JDT pada Sabtu. — Facebook/SabahFC

SABAH FC terpaksa berhempas-pulas untuk meraih slot ke Piala Konfederasi Asia (AFC) 2023 apabila gagal meraih sebarang mata pada perlawanan menentang juara Liga Super 2022, Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor.

Perlawanan yang berakhir dengan keputusan 0-3 itu menyaksikan Sabah tumpas di tangan JDT dan sekali gus meletakkan skuad Sang Badak di tangga ketiga dengan meraih 42 mata.

Ketumpulan Sabah FC bermula apabila terpaksa bermain tanpa tiga tonggak iaitu Park Tae-so, pemain pertahanan, Jackson de Souza dan penyerang, Jose Embalo.

Tidak cukup dengan itu, penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat terpaksa dikeluarkan berikutan kecederaan yang dialami pada babak awal permainan dan digantikan dengan Damien Lim.

Perlawanan itu sememangnya tidak menyebelahi Sabah yang menyimpan misi ke Piala AFC, bagaimanapun penyokong skuad Sang Badak tetap berbangga dengan pencapaian tersebut.

Malah, pujian turut diberikan terhadap beberapa pemain muda yang memberikan persembahan cemerlang sewaktu menentang pemenang Liga Super buat kali kesembilan berturut turut.

GERALD

Gerald bermain sebagai pemain tengah bagi skuad Sang Badak. — Facebook/SabahFC

Antara pemain muda yang diberikan peluang Datuk Ong Kim Swee ialah Azhad Harraz, Hanafie Tokyo dan Gerald Gadit.

“Nampak positif bila pemain muda diturunkan semalam seperti Hanafie Tokyo, Gerald Gadit, Azhad ada aura positif dari mereka ini. Kalau selalu diturunkan boleh pergi lebih jauh lagi,” komen penyokong, Harith Adam.

“Syabas Sabah, satu pencapaian yang sangat baik Liga Super 2022. Teruskan semangat yang tinggi di saingan Piala Malaysia. Lupakan kisah semalam. Buka lembaran baru dengan lebih garang.

“Siapa sangka pasukan yang baru dibentuk mampu sampai ke tahap sekarang. Satu yang kita nampak pada perlawanan menentang JDT. Pemain muda seperti Azhad Harraz, Hanafie Tokyo, Gerald telah mempamerkan gaya permainan yang terbaik. Syukur kita tidak ketandusan pemain. Akan datang sila beri peluang untuk penjaga gol muda Sabah iaitu Ramzi Mustakim dan pemain muda yang lain,” komen penyokong The Rhinos, Tahan Tukul.

AZHAD

Pemain berusia 19 tahun ini merupakan bekas penyerang pasukan FAM-MSN. — Agensi

Misi ke Piala AFC Sabah FC terpaksa diteruskan dengan merebut slot terakhir yang ditawarkan pada saingan Piala Malaysia.

Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan slot kedua Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menjadi milik juara Piala Malaysia musim ini.

MFL dalam kenyataan pada Sabtu berharap tiada kekeliruan timbul berhubung penentuan slot AFC 2023 memandangkan pemakluman menerusi surat pekeliling sudah dihantar kepada semua pasukan bertanding sebelum musim 2022 bermula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram