JOHOR Darul Takzim (JDT) sudah mengesahkan kedudukan mereka sebagai juara Liga Super sekali gus melayakkan mereka untuk beraksi di Liga Juara-juara Asia (ACL).
Namun, dua lagi slot untuk beraksi di Piala AFC masih menjadi rebutan buat tiga pasukan iaitu Sabah FC (tangga kedua) diikuti Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC.
Memasuki perlawanan terakhir Liga Super yang berlangsung pada Sabtu, ternyata tiga pasukan ini perlu bermain bermati-matian untuk mengesahkan tiket ke Piala AFC.
Sang Badak hanya kelebihan satu mata manakala Sang Penyu dan skuad Jang pula berkongsi mata sama.
Perlawanan Sabtu ini bakal menjadi penentu peluang tiga pasukan ini untuk beraksi di peringkat antarabangsa. Namun pasukan mana yang mempunyai peluang cerah?
Sabah lawan JDT
Untuk layak ke Piala AFC, Sabah tiada pilihan selain mencatat keputusan wajib menang ke atas JDT.
Namun, menerusi lima perlawanan terakhir, Sang Badak nampaknya tidak begitu konsisten dengan catatan satu seri, dua kalah dan dua kemenangan dalam perlawanan terbaharu mereka.
Tekanan Sabah FC bukan sahaja untuk melawat JDT, tetapi juga berdepan dengan 40,000 penyokong Harimau Selatan yang sudah membeli tiket.
Mereka hadir ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor untuk meraikan kejayaan pasukan bergelar juara Liga Super.
Tetapi bola itu bulat, apa pun boleh terjadi dan dua kemenangan berturut-turut Sabah FC sebelum ini pasti diharap menjadi penguat semangat untuk mengalahkan JDT.
Terengganu lawan Kedah
Terengganu nampaknya menjadi pasukan yang mempunyai peluang sangat cerah untuk merebut slot beraksi di Piala AFC.
Menuju hujung saingan Liga Super, Sang Penyu mencatatkan keputusan yang sangat konsisten dengan sembilan kemenangan berturut-turut.
Berbeza pula dengan Kedah yang kini sedang bergelut dengan prestasi semasa mereka dan mencatatkan empat kekalahan berturut-turut dalam lima perlawanan terakhir.
Semangat untuk meraih mata penuh semasa melawan Kedah pastinya menjadi sasaran utama Terengganu dan perkara itu boleh dianggap sesuatu yang boleh dicapai Sang Penyu.
Negeri Sembilan lawan Sri Pahang
Negeri Sembilan berada di tangga terakhir dalam saingan tiga penjuru merebut tempat ke Piala AFC.
Semangat pemain skuad Jang nampaknya begitu membara untuk mendapatkan kedudukan ketiga dalam Liga Super apatah lagi mencatatkan dua kemenangan berturut-turut sebelum ini.
Sri Pahang pula nampaknya masih terkapai-kapai mencari rentak permainan yang terbaik apatah lagi hanya menang sekali sahaja dalam lima perlawanan sebelum ini.
Beraksi di Stadium Darul Makmur, Pahang, skuad Jang perlu mempamerkan aksi bermati-matian untuk menang sekali gus beraksi di Piala AFC (jika Sabah kalah).
Secara kasar dan berdasarkan rekod perlawanan sebelum ini, Terengganu nampaknya sudah pasti akan beraksi di Piala AFC.
Namun, Negeri Sembilan juga berpeluang cerah kerana Sabah perlu bertemu dengan JDT, pasukan yang tidak pernah kalah dalam Liga Super.
Tak mungkin juga Harimau Selatan akan membenarkan Sang Badak mencalarkan imej tanpa kalah mereka pada aksi terakhir Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram