KEJUTAN demi kejutan yang disediakan oleh Perak FC kepada penyokongnya dan semua itu adalah sebagai persiapan mereka menghadapi saingan kompetitif Liga Super pada musim depan.
Sebelum ini, skuad Seladang mengejutkan penyokongnya dengan menjalin kerjasama dengan kelab bola sepak ternama Bundesliga Jerman, Vfl Wolfsburg.
Terbaharu, Perak FC berkongsi video pendek yang memaparkan kelibat beberapa pemain sedang menandatangi kontrak sambil memegang jersi baharu bersama pihak pengurusan Perak FC.
Selepas video berdurasi 15 saat itu dikongsi, timbul pula khabar angin mengatakan salah satu pemain yang bakal menyarung jersi The Bos Gaurus pada musim depan adalah anak jati dari Kota Belud, Sabah.
Perkongsian dari laman Facebook, Malayantigerfans mengatakan bahawa pemain yang dimaksudkan itu ialah bekas pelatih di bawah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Harith Naem Jaineh.
Harith merupakan pemain Melaka United pada musim ini. — Agensi
“Pemain muda asal Kota Belud, dikhabarkan bakal ke pasukam Liga Super 2023,” katanya sambil meletakkan logo Perak FC pada hantaran itu.
Penghijrahan pemain berusia 20 tahun itu ke Perak boleh menjadi benar berikutan skuadnya kini iaitu Melaka United masih terpalit dengan isu tunggakan gaji dan kontraknya yang berakhir pada 30 November 2022.
Malah, Harith Naem juga diramal boleh menjadi pemain cemerlang dibawah Teong Kim kerana dia merupakan anak didik jurulatih itu sewaktu berada di AMD.
Khabar angin itu disambut baik oleh para penyokong The Bos Gaurus dan mereka menyukai idea Teong Kim untuk memberi peluang kepada pemain muda beraksi di Liga Super.
“Terbaik Harith Naem. Ambil pengalaman dulu. Masa masih panjang lagi,” sokong penyokong Perak FC, Hizan Nyamuking.
“Pandai Lim Teong Kim cari pemain. Ada pemain yang baik keputusan pasti baik,” kata penyokong, En Matt.
Terdahulu, pengendali baharu Perak FC itu menyatakan ingin memberi lebih tumpuan kepada pemain muda tempatan berbanding import dalam kancah Liga M musim hadapan.
Selain bekas pemain Sabah itu, nama-nama pemain senior lain turut dikaitkan dengan Perak FC iaitu Shahrul Saad dan Mohd Nasir Basharuddin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram