SABAH FC enggan meramal kekuatan persaingan yang bakal ditampilkan Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Bahru, Johor pada Sabtu.
Ini kerana biarpun JDT tidak tertekan untuk bermain agresif setelah merangkul gelaran juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut pada 1 Oktober lalu, pasukan Harimau Selatan itu pasti enggan memberi jalan mudah kepada skuad Sang Badak.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee (OKS) tidak mahu skuad kendaliannya menyasarkan mana-mana pemain JDT secara spesifik.
"Saya rasa kami perlu mengambil kira kekuatan kesemua pemain JDT, termasuklah pemain-pemain yang duduk di bangku simpanan.
"Bukan sahaja yang bermain di atas padang. Saya tak tahu sekiranya JDT akan beri laluan mudah atau tidak kerana itu bukan di bawah kawalan saya," katanya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut mengenai peluang untuk ke Piala AFC, Kim Swee percaya barisan pemainnya memiliki peratusan kejayaan sama rata dengan lawan terdekat, Negeri Sembilan FC dan Terengganu FC.
Sabah FC kehilangan Embalo (dua dari kiri) dan Tae Soo (tengah) pada perlawanan menentang JDT, Sabtu.
Biarpun kehilangan tiga tonggak utama iaitu Park Tae-soo, Jackson de Souza dan Jose Embalo, Kim Swee tidak merasakan pasukannya tempang kerana masih ada 27 pemain yang bersemangat untuk membantu Sabah FC menggapai misi mereka itu.
"Jika peluang ke AFC, kita semua akan tahu sebaik sahaja wisel penamat malam ini (Sabtu). Jadi tiga-tiga pasukan ini ada peluang untuk merebut slot AFC itu.
"Kita ada 27 pemain lagi yang boleh bermain pada bila-bila masa. Ini terpulang pada keputusan saat akhir sebelum perlawanan nanti," tambahnya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa Sabah FC akan kehilangan tiga pemain pada perlawanan menghadapi pasukan Harimau Selatan.
Tae-soo tidak dapat bermain setelah menerima kad kuning ketika menentang Sri Pahang selain Jackson dan Embalo pula masih dibelenggu kecederaan.
Sebagai rekod, Sabah kini menduduki tangga kedua Liga Super dengan 42 mata selepas 21 perlawanan tetapi mereka berisiko terlepas slot ke Piala AFC musim depan seandainya dipintas oleh Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC, yang kedua-duanya hanya ketinggalan satu mata, masing-masing di tangga ketiga dan keempat.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram