Gosip Marcelo Gallardo bakal ke JDT, nasib Hector Bidoglio jadi tanda tanya


  • Podium
  • Sabtu, 15 Okt 2022

Khabar angin tersebut memberi bayangan bahawa Gallardo (kiri) bakal menjadi ketua jurulatih JDT, sekali gus menimbulkan pertanyaan mengenai nasib Bidoglio.

BERITA mengenai pengurus bola sepak sensasi, Marcelo Gallardo bakal meninggalkan kelab Argentina, River Plate membuatkan peminat bola sepak tempatan tidak senang duduk.

Semuanya gara-gara perkongsian seorang pemerhati sukan, Juan Bapakaw di laman Twitter yang memberi bayangan mengenai kedatangan bekas pemain antarabangsa Argentina itu di bumi Selatan Malaysia.

Juan berkongsi semula berita Gallardo meninggalkan River Plate dengan menambah kapsyen "Selamat datang ke Johor".

Sebelum ini, Juan sering menyampaikan khabar angin berkaitan Johor Darul Takzim (JDT) seperti kepulangan semula Syafiq Ahmad dari Kedah FC ke pangkuan JDT serta gosip Dion Cools yang menjadi kenyataan.

Tangkap layar muat naik Juan Bapakaw yang mencetuskan tanda tanya.

Jika dinilai semula, perkara itu tidak mustahil kerana setakat ini, Hector Bidoglio masih belum lagi mampu memberikan magisnya seperti yang dilakukan bekas jurulatih Harimau Selatan, Benjamin Mora.

Pelantikan Bidoglio juga dilihat seakan-akan tangkap muat setelah Mora diumumkan meninggalkan pasukan tersebut secara tiba-tiba dengan alasan masalah peribadi.

Jurulatih berusia 54 tahun tersebut tidak memiliki lesen Pro UEFA seperti Mora dan memiliki reputasi tidak setanding bekas jurulatih yang telah membantu Harimau Selatan meraih empat kejuaraan Liga Super Malaysia, empat Piala Sumbangsih dan satu Piala Malaysia itu.

Selain itu, walaupun Bidoglio berjaya membawa pulang trofi Liga Super dan Piala FA dalam tempoh singkat itu, rentak dan gaya permainannya masih menerima kritikan tidak enak daripada pemerhati dan penyokong Harimau Selatan.

Adakah JDT bakal menerima ketua jurulatih baharu? Facebook/ JDT

Berbeza dengan Gallardo yang memiliki rekod cemerlang bersama River Plate setelah memenangi 14 kejuaraan bersama kelab Argentina itu, termasuk tujuh trofi antarabangsa, enam piala kebangsaan dan liga Argentina 2021.

Gallardo yang memulakan karier kejurulatihannya di River Plate pada Mei 2014 juga membimbing pasukan tersebut untuk menang ke atas saingan sengit seteru utama, Boca Juniors semasa kejohanan Copa Sudamericana 2014 dan Copa Libertadores pada 2015 dan 2018.

Melihat daripada kemungkinan tersebut, tidak mustahil sekiranya JDT bakal mengumumkan ketua jurulatih baharu mereka untuk musim depan.

Persoalannya, dengan minat ditunjukkan kelab elit Eropah termasuk Juventus terhadap Gallardo, mampukah JDT melakukan satu tindakan drastik untuk membawa pengurus itu musim depan? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram