'Tan Sri nasihatkan sikit Menteri Besar Kedah' — TMJ


  • Podium
  • Khamis, 06 Okt 2022

Mohd Daud Bakar (Kiri) dan Sanusi (tengah) ketika menonton salah satu perlawanan melibatkan pasukan Kedah pada Ogos lalu. — Facebook/KDA

DRAMA pertikaman lidah di antara Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor dan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sememangnya tidak akan berkesudahan.

Terbaharu, Tunku Ismail dilihat seakan-akan 'mengadu' kepada pemilik Kedah Darul Aman (KDA), Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar mengenai sikap Menteri Besar berkenaan yang disifatkan sebagai satu provokasi terhadap kedua-dua pasukan Kedah dan JDT.

Menurut ruang komen laman Instagram milik Mohd Daud, TMJ meminta pemilik KDA itu untuk menasihati Sanusi supaya memberhentikan perangai 'badut' yang sering dipamerkan beliau.

“Salam Tan Sri, saya pernah berjumpa dengan Tan Sri di SSI (Stadium Sultan Ibrahim). Tan Sri orang yang baik dan saya berdoa semoga Allah kurniakan kejayaan buat Tan Sri dan Kedah.”

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta Tan Sri nasihatkan ‘sikit’ Menteri Besar Kedah (merujuk kepada Sanusi), cukup-cukuplah memecah belahkan Kedah dan Johor, lagi-lagi orang Islam Melayu kita.”

“Sudah tiba masanya untuk beliau jaga sikap dan bawa diri sebagai seorang Menteri Besar dan bukannya ‘Badut’.”

“Semoga Allah berkati Tan Sri. ‘A leader will give birth to more leaders, a clown will give birth to more Clowns',” tambah TMJ lagi.

Terdahulu, Sanusi mempertikaikan jaringan dihasilkan oleh Bergson da Silva serta sepakan penalti yang diperolehi JDT pada aksi liga menemukan kedua-dua pasukan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Meskipun terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain, JDT masih mampu mencatatkan kemenangan 3-1 untuk terus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram