Syafiq diintai Teong Kim, adakah mungkin ini 3 sebabnya?


  • Podium
  • Isnin, 10 Okt 2022

Sumbangan Syafiq Ahmad dalam skuad Harimau Selatan sedikit terhad dengan kehadiran penyerang import. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KEHADIRAN pemilik baharu buat Perak FC pada Ogos berjaya memberi nafas kepada kelab yang menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan kesembilan.

Perubahan format liga daripada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) turut membuka ruang kepada pasukan tersebut bagi beraksi di liga teratas domestik.

Oleh itu, ketika ini, tidak salah untuk mengatakan bahawa The Bos Gaurus (TBG) memiliki sumber kewangan yang kukuh, sekali gus membolehkan mereka bersaing dalam kalangan pasukan-pasukan gergasi Liga Malaysia.

Cita-cita pemilik baharu itu dibuktikan dengan pelantikan ketua jurulatih sensasi, Lim Teong Kim yang namanya tidak asing lagi dalam kalangan peminat tegar bola sepak tanah air.

Pengalaman pengendali berusia 59 tahun itu dalam dunia kejurulatihan di Jerman menjulang reputasinya dengan beberapa kelab tempatan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Tetapi, pihak pengurusan perlu terbuka untuk melakukan pelaburan, lebih-lebih lagi ketika jendela perpindahan untuk membawa masuk pemain yang sesuai dengan acuan Teong Kim.

Baru-baru ini, ketua jurulatih baharu itu secara terbuka meluahkan minatnya untuk membawa masuk penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad untuk menambah baik kualiti jentera serangan pasukan.

Pemain yang ketika ini hanya perlu berpuas hati memanaskan bangku simpanan di Johor Darul Takzim (JDT) itu dikatakan mampu membantu pasukan kendalian Teong Kim dalam beraksi dengan lebih baik.

Namun, persoalan timbul dalam kalangan penyokong yang pasti tertanya-tanya akan tarikan Syafiq sehingga ketua jurulatih baharu itu terbuka untuk menyuarakan hasratnya itu.

1. Terbuka untuk penghijrahan

Selepas menyertai JDT pada hujung 2017, Syafiq kurang diberi perhatian daripada pihak kejurulatihan Harimau Selatan apabila pasukan itu sering dibanjiri penyerang import berkualiti.

Perkara itu serba sedikit memberi kesan ke atas kemampuannya dengan ketajaman dan gerak gerinya sudah tidak setangkas ketika berada di Kedah FA (sebelum ditukar menjadi Kedah Darul Aman FC).

Tetapi, semangat dan keazamannya di atas padang tidak boleh dipersoalkan dengan persembahannya dalam skuad kebangsaan jarang mengecewakan ketika diberi peluang.

FB_IMG_1653022652899

Adakah Perak FC atau Kedah Darul Aman FC menjadi destinasi baharu Syafiq Ahmad? Facebook/Kedah Darul Aman FC

Oleh itu, pemain berusia 27 tahun itu pasti terbuka untuk berhijrah selepas hampir lima tahun bakatnya disia-siakan dalam skuad Harimau Selatan.

Ciri-ciri itu semestinya diberi perhatian pihak pengurusan Perak FC apabila mereka tidak mahu menjalankan aktiviti perpindahan tanpa melakukan saringan terlebih dahulu.

Di samping itu, pihak kejurulatihan JDT pasti tidak menghalang penghijrahan Syafiq dengan kehadiran penyerang berbisa, Bergson da Silva serta kehadiran graduan akademi.

Bagi Syafiq pula, perubahan nasib dan imej TBG baru-baru ini pasti membuka hatinya meskipun khabar angin mengatakan terdapat minat daripada pasukan-pasukan lain.

2. Pendekatan taktikal

Umum mengetahui bahawa Teong Kim terkenal dengan gaya permainan yang mendambakan tahap kecergasan terbaik daripada barisan pemain sepanjang 90 minit perlawanan.

Pengalamannya bersama pasukan remaja Bayern Munich pastinya menjadi acuan buat pendekatan pengendali itu di atas padang dengan kelab Eropah itu terkenal dengan gaya permainan secara agresif.

309547837_177954394784944_2849568371937820987_n

Teong Kim pasti mahu mencari pemain yang menepati acuan permainannya. Facebook/Perak Football Club

Oleh itu, tidak hairan sekiranya taktikal itu bakal diterapkan dalam skuad Perak FC bagi memastikan pasukan lawan gagal merencanakan gerakan berkualiti.

Sumbangan itu mampu dilihat dalam Syafiq yang sering memberi tekanan ke atas barisan pertahanan lawan ketika beraksi bersama JDT dan skuad Harimau Malaya.

Perkara itu pastinya menarik perhatian Teong Kim dalam membawa masuk pemain yang dapat menuruti kehendaknya, sekali gus menjayakan gerakan serangan pasukan itu.

Di samping itu, dalam saingan liga musim ini, Syafiq berjaya mencipta enam hantaran gol dalam membantu pasukan itu menjuarai Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut.

Kemampuannya untuk mencari rakan sepasukan mampu menambah baik kualiti serangan TBG apabila mereka musim ini hanya mampu menjaringkan 16 gol dalam Liga Perdana.

3. Usia dan pengalaman

Tidak boleh dinafikan, usia seseorang pemain merupakan salah satu kunci utama atas persembahannya di atas padang, lebih-lebih lagi buat seorang penyerang.

Bagi Syafiq Ahmad, kehadirannya seakan-akan sudah cukup lama dalam kancah bola sepak tempatan apabila dia sudah menunjukkan kemampuan sejak muda lagi.

WhatsApp Image 2022-10-09 at 21.13.25

Syafiq (tengah) sering diturunkan bersama skuad kebangsaan. Facebook/FAMalaysia Official

Kini, berusia 27 tahun, pemain kelahiran Kedah itu dilihat berada di puncak karier dan ia pastinya tidak mahu disia-siakan sebelum menamatkan kariernya.

Hal itu pastinya diberi perhatian daripada Teong Kim walaupun dia dikatakan lebih berminat untuk mendapatkan pemain-pemain muda ketika jendela perpindahan akan datang.

Selain itu, pengalamannya juga tidak kurang hebat apabila dia sudah merekodkan hampir 100 perlawanan dalam Liga Super serta penampilan bersama skuad kebangsaan.

Sepanjang karier itu, Syafiq juga berjaya membawa pulang beberapa kejuaraan, termasuk empat gelaran liga bersama JDT dan Piala FA bersama Kedah FA.

Pengalaman tersebut pastinya satu kelebihan buatnya dan ia boleh dikongsikan bersama rakan-sepasukan, sekali gus membawa dimensi baharu buat pasukan TBG. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram