Getir kejar impian, Sabah FC mungkin main tanpa 2 tonggak jumpa Tok Gajah


  • Podium
  • Isnin, 10 Okt 2022

Dua perlawanan terakhir Sabah FC adalah bertemu Sri Pahang (11 Oktober) dan JDT pada 15 Oktober nanti. — Facebook/Sabah FC

DETIK-DETIK getir buat Sabah FC dalam dua perlawanan terakhir Liga Super 2022 sama ada The Rhinos mampu mengekalkan kedudukan sebagai naik juara ataupun sebaliknya.

Malah dua aksi terakhir yang diadakan di gelanggang lawan itu juga bakal menjadi penentu sama ada skuad Sang Badak berjaya melangkah ke kejohanan kedua tertinggi di Asia, Piala AFC 2023.

Persoalan sama ada Sabah FC bakal membuat debut di kejohanan AFC perlu direalisasikan menerusi pungutan tiga mata penuh dalam aksi menentang Johor Darul Takzim (JDT) dan Sri Pahang FC.

Sebelum bertandang ke Stadium Sultan Ismail (15 Oktober), skuad di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee perlu menentang Sri Pahang pada Selasa ini.

Bagaimanapun, pertempuran getir berjumpa skuad Tok Gajah menyaksikan pengendali berusia 51 tahun itu berkemungkinan tidak dapat menurunkan dua tonggak mereka.

OKS

Kim Swee sewaktu sesi latihan bersama anak-anak buahnya. — Facebook/Sabah FC

Dua tonggak Sabah yang dimaksudkan ialah pemain pertahanan, Rizal Ghazali dan penyerang import, Jose Embalo.

Rizal sebelum ini dilayangkan kad merah ketika bertemu Terengganu yang menyekat peluangnya beraksi ketika menentang Penang FC.

Namun, Kim Swee berkata, keputusannya untuk menurunkan pemain yang berusia 31 tahun itu perlu berdasarkan tahap kecergasan dan menilai kecederaannya.

“Belum pasti Rizal turun atau tidak sebab mungkin kecergasan dan kecederaan Rizal.

"Embalo tidak akan bermain sebab dia masih cedera,” katanya kepada Majoriti.

rizall

Rizal sebelum ini dilayangkan kad merah ketika bertemu Terengganu pada 02 Oktober lalu. — Facebook/Sabah FC

Kali terakhir Embalo diturunkan ialah pada ketika perlawanan menentang Selangor FC yang mana kali pertama juga dia menjaringkan gol buat skuad The Rhinos.

Selain bermain tanpa dua pemain itu, Kim Swee juga risau akan keadaan padang yang mungkin akan mengganggu persediaan The Rhinos.

Sebelum ini, perlawanan antara JDT dan Sri Pahang terpaksa bermain dengan keadaan padang yang lecak berikutan hujan lebat di kawasan Stadium Darul Makmur, Kuantan.

“Persediaan seperti biasa dan jika padang berlecak perlu buat persediaan lebih rapi,” jelasnya.

Sabah FC kini berada di tangga kedua carta liga dengan mengumpul 39 mata dan diekori rapat Terengganu FC (TFC) dengan 38 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram