Shane Lowry selamat jalani pembedahan, titip mesej khas buat peminat


  • Podium
  • Jumaat, 07 Okt 2022

JDT sebelum ini mengesahkan Shane Lowry terpaksa berehat panjang akibat kecederaan patah siku ketika menentang Kedah. — Gambar Instagram/Shanelowry89

PEMAIN pertahanan import Johor Darul Takzim (JDT) selamat menjalani pembedahan akibat kecederaan patah siku yang dialami ketika menentang Kedah Darul Aman (KDA FC) pada Selasa lepas.

Pemain dari Australia itu berkongsi berita baik mengenai perkembangan terkini dengan peminatnya di Instagram.

Menerusi Instagram Story yang dimuat naik pada Jumaat, Shane Lowry berkongsi gambar di hospital dengan ditemani isteri, Caroline Lowry dan anak mereka yang datang melawat.

"Cheering up daddy," tulis kapsyen gambar yang dikongsikan isterinya, @carolinesconfessions sebelum foto itu dimuat naik semula di akaun @shanelowry89.

Pertahanan Johor yang terkenal dengan panggilan 'tanker' itu turut memuat naik ucapan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatannya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang meninggalkan mesej mendoakan kesihatan saya.

"Saya tak dapat nak balas semua, tapi saya sudah membacanya.

"Pembedahan berjalan lancar dan kini tiba masanya untuk saya fokus kepada proses pemulihan. Terima kasih kembali," katanya.

photo_6197420058037301696_y (1)

Ucapan terima kasih yang dimuat naik Shane Lowry kepada peminatnya. — Instagram

JDT sebelum ini mengesahkan Shane Lowry terpaksa berehat panjang akibat kecederaan patah siku ketika menentang Kedah.

Johor Southern Tigers (JST) menerusi satu kenyataan rasmi di Facebook berkata, pemain itu bakal terlepas aksi Liga Super menentang Sri Pahang di Stadium Darul Makmur pada Jumaat.

Dalam aksi pada Selasa di Stadium Darul Aman, Lowry mengalami kecederaan pada minit ke-63 selepas berlanggar dengan pemain Kedah, Al-Hafiz Harun yang menyaksikan dia terpaksa digantikan dengan Aidil Zafuan.

Ketiadaan pemain Australia itu bagaimanapun tidak menghalang JDT untuk melakar kemenangan 3-1 ke atas KDA dan mengekalkan rekod tanpa dalam saingan liga kalah sepanjang musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram