PERMINTAAN Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada Penaung Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman Football Club (KDA FC), Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar supaya menegur Muhammad Sanusi Md Nor agar beliau menjaga sikap, nampaknya tidak diendahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu.
Malahan Sanusi dilihat lebih galak membidas pemilik kelab Johor Darul Takzim (JDT) itu sekali gus mencetuskan perang mulut terbaharu di antara kedua-dua figura tersebut yang sememangnya bukan asing dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Menerusi satu hantaran di Facebook rasminya pada Jumaat, Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah mengeluarkan kata-kata berbaur sinis kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ).
"Wow!!! Wow!!! Bahasa terindah untuk perpaduan, untuk Melayu, Islam kita pula tu.
"Contoh teladan terbaik daripada seorang pemilik kelab bola sepak untuk pemujanya dan sekalian yang berjiwa mentimun.
"Semua salah ada pada orang lain, dia semua betul. Panaih Takpa Jangan Koyak!," tulisnya.
Terdahulu TMJ di ruang komen Instagram Mohd Daud meminta supaya pemilik baharu kelab Sang Kenari untuk menasihati Sanusi supaya memberhentikan perangai 'badut' yang sering dipamerkan beliau.
“Salam Tan Sri, saya pernah berjumpa dengan Tan Sri di SSI (Stadium Sultan Ibrahim). Tan Sri orang yang baik dan saya berdoa semoga ALLAH kurniakan kejayaan buat Tan Sri dan Kedah.”
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta Tan Sri nasihatkan ‘sikit’ Menteri Besar Kedah (merujuk kepada Sanusi), cukup-cukuplah memecah belahkan Kedah dan Johor, lagi-lagi orang Islam Melayu kita.”
“Sudah tiba masanya untuk beliau jaga sikap dan bawa diri sebagai seorang Menteri Besar dan bukannya ‘Badut’.”
“Semoga Allah berkati Tan Sri. ‘A leader will give birth to more leaders, a clown will give birth to more Clowns',” tambah TMJ lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram