Janji tinggal janji, Stadium Shah Alam apa khabar?


  • Podium
  • Jumaat, 30 Sep 2022

Nasib Stadium Shah Alam masih menimbulkan tanda tanya bagi peminat bola sepak tanah air.

MASIH terngiang-ngiang di telinga penyokong bola sepak tanah air janji yang ditaburkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menyatakan bahawa stadium baharu pasukan Selangor lebih baik dari Anfield.

Bahkan media sebelum ini pernah melaporkan, pembinaan stadium baharu yang dijangka mencecah RM787 juta itu bakal menjanjikan kepuasan kepada para penyokong The Red Giants dalam memacu lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, Amirudin pada bulan ini juga dilaporkan berkata, satu pendengaran umum akan diadakan bagi mendapatkan pandangan awam mengenai masa depan stadium tersebut, termasuk Kompleks Sukan Shah Alam.

Selangor Mentri Besar Datuk Seri Amirudin Shari— KK SHAM/The Star

Amirudin pernah menjanjikan bahawa stadium baharu pasukan Selangor bakal menjadi salah satu stadium terbaik di Malaysia.

Namun, sehingga kini, sesi tersebut belum dijalankan dengan penyokong Selangor FC masih menunggu perkhabaran terhadap isu penambahbaikan atau perobohan stadium keramat tersebut.

Fasiliti itu sememangnya menjadi bahan bualan penyokong bola sepak negara beberapa tahun kebelakangan ini dengan laporan mengatakan kerja-kerja baik pulih bakal diselesaikan pertengahan tahun ini.

Walaupun pernah diangkat menjadi menjadi stadium terbesar di Asia Tenggara namun fasiliti itu kini semakin tidak terurus dan dimamah usia.

Selain keadaan cat dan tempat duduk penyokong yang semakin uzur, terdapat juga laporan dan cakap-cakap di media sosial yang mengatakan terdapat kebocoran bumbung.

Bukan itu sahaja, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos juga mencadangkan supaya kerajaan Selangor menyerahkan stadium berkenaan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk dibaik pulih.

Kenyataan beliau itu, menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan peminat bola tempatan yang mempersoalkan kenapa bukan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah yang mengambil alihnya kerana baginda juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Selain Jamal, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar turut pernah menyuarakan pendapat tentang status stadium baharu dan Kompleks Sukan Shah Alam itu.

Sejak 2021, skuad The Red Giants terpaksa menumpang Stadium MBPJ, Cheras, Selangor yang menjadi tuan rumah buat satu lagi pasukan Lembah Klang, Petaling Jaya (PJ) City FC.

Mereka juga sebelum ini pernah menggunakan beberapa stadium dengan Stadium Kuala Lumpur menjadi stadium sementara pada 2018 serta Stadium UiTM Shah Alam bagi baki musim 2020.

Fdy8TcdUUAAHFH4

Tangkap layar Instastory dari laman Instagram @thereisonlyonered yang ditujukan kepada Amirudin. — Twitter

Sudah muak menunggu, pemerhati bola sepak tanah air, No Context Bola Malaysia melalui akaun Twitter mengharapkan jawapan daripada kerajaan negeri Selangor tentang status terkini mengenai stadium itu.

Dia turut berkongsi satu tangkap layar Instastory dari laman Instagram @thereisonlyonered.

"Stadium Shah Alam apa khabar?

"Dulu kata bulan September nak panggil penyokong datang bagi pendapat. Sekarang sudah nak masuk bulan Oktober.

"Kenapa senyap. Kami tidak lupa. Janji mana janji?," tulisnya.

Membalas kepada ciapan tersebut, seorang pengguna Twitter, Purnama Mega Kurniawan membandingkan keadaan stadium Terengganu dan Stadium Merdeka yang pernah dibaik pulih pada suatu ketika dahulu.

"Tidak tahu nak cakap sebab kita bukan pakar dalam bina-binaan ni.

"Tapi, Stadium Terengganu yang bumbung runtuh, buang bumbung dah boleh pakai semula.

"Stadium Merdeka pun pernah buang binaan teres atas, pun boleh pakai semula," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram