Makin hari makin hilang sabar, penyokong desak Sri Pahang buat 3 rombakan besar-besaran


  • Podium
  • Ahad, 09 Okt 2022

Penyokong setia Tok Gajah semakin lantang meluahkan kekecewaan mereka menerusi media sosial. — Facebook/Sri Pahang FC

SELEPAS bertahun-tahun mencabar kejuaraan, Sri Pahang FC semakin berada di kedudukan tergugat apabila mula menghadapi kesukaran beberapa musim kebelakangan ini.

Kejayaan untuk menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kedua pada 2019 seakan-akan sukar untuk diulangi, lebih-lebih lagi apabila pasukan tersebut jelas bergelut musim ini.

Tidak cukup dengan itu, peluang untuk membawa pulang trofi juga semakin malap selepas kali terakhir menjulang Piala FA pada 2018, satu pencapaian yang pastinya mendapat tempat dalam hati penyokong.

Ketika ini, mereka berada di kedudukan kelapan Liga Super dengan hanya dua perlawanan berbaki dengan cabaran semakin besar buat anak-anak buah Datuk Dollah Salleh.

Kehadiran pemain-pemain import berkualiti seperti Manuel Hidalgo dan Steven Rodriguez gagal untuk mencetuskan kemaraan selepas memulakan kempen dengan langkah kiri.

Krisis kejurulatihan juga nampaknya sebagai salah satu punca di atas prestasi terumbang-ambing setelah ketua jurulatih, Christophe Gamel dilucutkan jawatannya.

Kecewa dengan perkara itu, penyokong Tok Gajah mula meluahkan kekecewaan mereka baik di media sosial mahupun di laman sendiri setelah mereka mendesak perubahan secara besar-besaran dapat dilakukan dengan segera.

Perkara itu bukanlah sesuatu yang baharu apabila penyokong fanatik pasukan, Elephant Army pada tahun lepas mengharapkan terdapat rombakan daripada pihak pengurusan.

Tidak reda dengan laungan itu, seorang penyokong menerusi laman Facebook Hogoh Pahang Hogoh menyuarakan sedikit cadangan yang boleh diambil bagi mengubah nasib Sri Pahang FC.

1. Pusat latihan bermutu

Pada 2021, pihak pengurusan pernah mencadangkan agar terdapat pembinaan kompleks latihan tersendiri bagi membolehkan pemain lebih bersedia pada hari perlawanan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sufian Awang, perancangan itu adalah untuk menyuntik semangat buat pasukan selain meningkatkan lagi reputasi kelab tersebut.

EXTERIOR_AERIAL-VIEW-scaled-0x1200-c

Pusat latihan yang dikatakan bakal didirikan buat kegunaan skuad Sri Pahang FC. Agensi

Namun, sehingga kini, kompleks yang dijanjikan itu masih belum dirasai pemain dan penyokong mula berasakan perancangan itu hanya angan-angan mat jenin.

Oleh itu, penyokong menerusi Facebook itu berharap agar pembinaan pusat latihan itu dapat diselesaikan secepat mungkin bagi menambah baik kualiti pemain.

"Pusat latihan sendiri yang disegerakan pembinaannya serta diuruskan dengan cekap dan stabil. Jika dilihat kepada dua bulan yang berbaki sebelum musim tengkujuh, jadi wajarlah untuk didapatkan kompleks latihan itu," tulisnya.

2. Lantikan pegawai berkaliber

Selain penekanan yang diberikan ke atas pemain dan prestasi dalam padang, penyokong Tok Gajah itu turut berharap agar terdapat perubahan menyeluruh dari segi kewangan pasukan.

Meskipun Sri Pahang tidak terlibat dengan isu dana ketika ini, persediaan perlu dilakukan secara lebih teliti bagi mengelak pasukan itu terpalit dengan masalah tersebut.

Jadi, pelantikan individu yang mempunyai kemahiran dalam bidang pemasaran dilihat mampu membawa perubahan ke atas kelab, sekali gus memacu mereka ke tahap yang lebih tinggi.

"Pihak pengurusan perlu melantik pegawai pemasaran dan seksyen mengurus tarikan penaja dan jualan barangan pasukan secara lebih profesional.

"Perkara itu adalah untuk memberikan kelebihan buat pasukan secara kewangan, termasuk mengelakkan isu membabitkan kepatuhan syarat pengunaan logo pasukan untuk menghapuskan budaya cetak rompak," katanya.

3. Perubahan ke atas imej pasukan

Tidak boleh dinafikan, majoriti penyokong sebelum ini menolak perubahan nama daripada Pahang FA kepada Sri Pahang FC apabila mereka berasakan ia mengubah identiti pasukan.

Dalam hantaran di Facebook itu, peminat setia Tok Gajah itu berpendapat perubahan tersebut mampu menambah baik peluang kelab itu untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka di pasaran.

dCBrqoMhC3uovhQNuqlQqbm5qo9cUkb144JTFVNP

Penyokong berpendapat imej dan identiti pasukan tidak lagi sama di bawah Sri Pahang FC. — Facebook/Sri Pahang FC

"Perubahan imej pasukan yang lebih stabil dari sudut jenama, pengurusan, latihan, media dan jualan dirasakan dapat menambah baik reputasi pasukan ini," katanya.

Namun, persoalannya, adakah cadangan tersebut mampu mengubah hala tuju pasukan seperti mana yang diharapkan setelah reputasi mereka sudah dicalar dengan prestasi terumbang-ambing? Jika tiada rombakan, adakah nasib malang Sri Pahang kekal berterusan musim depan? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram