PENGENDALI Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh ternyata lega apabila pasukan bimbingannya berjaya 'merantai' skuad Johor Darul Takzim (JDT) selepas seri tanpa jaringan, sekali gus berjaya mengutip satu mata dalam saingan Liga Super di halaman sendiri pada Jumaat.
Beliau bagaimanapun mengakui perlawanan yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat itu, turut mempengaruhi corak permainan pasukan Tok Gajah dan Harimau Selatan untuk beraksi cemerlang sepanjang 90 minit permainan.
"Saya sudah menjangkakan situasi perlawanan akan terjadi sama seperti ketika Sri Pahang bertemu KL City dahulu, apabila kita kehilangan rentak ketika bermain di padang becak dan saya akui JDT nampaknya lebih menguasai permainan.
"Namun, apa yang melegakan ialah kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri dan syukur kita mampu mendapatkan satu mata untuk memperbaiki kedudukan dalam liga,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium Darul Makmur pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Dollah berkata, skuadnya akan melakukan persiapan rapi untuk meraih kemenangan dalam dua perlawanan terakhir musim ini, bagi merebut tempat terbaik Liga Super, sekali gus mengelak bertemu JDT pada kempen Piala Malaysia 2022.
Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio berkata, pasukannya terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri, meski pun sudah berusaha mempamerkan permainan terbaik apabila turun dalam keadaan padang becak.
"Ia sesuatu yang sukar bermain seperti kebiasaan kerana keadaan padang, tetapi kami tetap memberi persembahan terbaik dan berusaha menguasai permainan.
"Kami sudah banyak kali bermain dalam situasi ini dan menyedari risiko perlu dihadapi, dalam usaha mencatat kemenangan...kita perlu lebih berhati-hati bagi mengelak kecederaan kepada pemain berikutan masih banyak perlawanan kompetitif perlu diharungi JDT,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram