[VIDEO] Gelagat 'Makcik Petir' curi tumpuan aksi basah JDT—Sri Pahang


  • Podium
  • Sabtu, 08 Okt 2022

Tangkap layar seorang penyokong wanita yang digelar 'Makcik Petir' kini tular di media sosial.

PERTEMBUNGAN antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super pada Jumaat gagal memaparkan rentak permainan terbaik apabila hujan lebat melanda sehingga menyebabkan padang berlecak.

Perkara itu pasti sedikit sebanyak mendatangkan perasaan kurang senang daripada penyokong apabila perlawanan itu sudah dinanti-nantikan sejak beberapa minggu.

Namun, di sebalik perlawanan itu, satu gelagat penonton berjaya mencuri perhatian sehingga gelaran 'Makcik Petir' membanjiri laman media sosial.

Kelakuan penyokong tersebut, yang kelihatan tidak berpuas hati dengan persembahan di atas padang, seperti menari-nari di Stadium Darul Makmur dan berjaya dirakam.

Menariknya, meskipun orang ramai yang lain hanya duduk sambil menunggu perlawanan diteruskan, wanita tersebut kelihatan bersemangat sambil berdiri dan melontarkan kata-kata tidak difahami.

Gelagat yang dirakam itu berjaya mengundang pelbagai komen mencuit hati daripada pengguna media sosial dengan Hazil Imry seakan-akan berjaya meneka apa yang cuba disampaikan 'Makcik Petir' itu.

"Kami tak takut kena hujan. Itu rasanya apa yang cuba disampaikan dengan tengok gerak mulut wanita yang kelihatan sedikit marah itu," katanya.

Rohayu Abd Rahim pula berasakan individu yang mengenakan baju hujan berwarna kuning itu seperti dalam perasaan tidak senang sehingga menyebabkannya berkelakuan sedemikian.

"Terlalu teruja rasanya 'Makcik Petir' ni sampai berjaya menggembirakan penyokong di stadium. Tak pun, dia marah kerana dibasahi hujan seperti yang lain," katanya.

Dalam perlawanan pada Jumaat itu, Sri Pahang dan JDT masing-masing perlu berpuas hati dengan satu mata selepas terikat tanpa jaringan dalam 90 minit permainan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram