PEMILIKAN baharu Perak FC daripada XOX Berhad menerusi anak syarikat, OneXOX Sdn Bhd berjaya membuka lembaran baharu buat pasukan yang terdampar di Liga Perdana itu.
Bekas juara Piala Malaysia 2018 itu jelas menunjukkan keazaman tersendiri dengan bersungguh-sungguh mengubah nasib pasukan dengan pelaburan teliti menjelang tirai baharu musim depan.
Ia dapat dibuktikan menerusi pelantikan ketua jurulatih sensasi, Lim Teong Kim yang sememangnya terkenal dalam kalangan peminat tegar bola sepak tanah air dengan reputasi cemerlang.
Namun, cita-cita mereka tidak terhenti di situ apabila pasukan tersebut mula menawarkan kontrak kepada ubi-ubi muda skuad The Bos Gaurus (TBG) beberapa minggu kebelakangan ini.
Selain itu, pelbagai khabar angin mula bertiup dengan mengatakan pihak pengurusan sudah memulakan rancangan awal dalam menambah baik kualiti skuad menerusi pengambilan wajah-wajah baharu.
Meskipun jendela perpindahan hanya akan dibuka hujung tahun ini, tidak salah sekiranya penyokong mula berteka-teki akan pemain yang bakal dibawa masuk kelak.
Baru-baru ini, ada ura-ura mengatakan dua benteng pertahanan Johor Darul Takzim (JDT) mula dirisik dengan tujuan memberi nafas baharu buat skuad kendalian Teong Kim itu.
Tetapi, satu lagi perkhabaran mula didengari sekitar media sosial dengan mengaitkan Perak FC bakal membawa masuk pemain daripada Melaka United FC (MUFC).
Keadaan skuad Hang Tuah yang bergelut dengan isu kewangan seakan-akan mengesahkan perkara itu apabila masa depan pasukan itu masih gelap setakat ini.
Penangguhan bayaran gaji serta kemelut pengurusan yang dihadapi pasti memaksa pemain MUFC mencari majikan baharu untuk meneruskan karier masing-masing musim depan.
Dengan pemilikan baharu serta kewangan yang lebih kukuh, tidak hairanlah sekiranya pihak pengurusan Perak FC mula mengintai peluang dalam mendapatkan khidmat pemain MUFC.
Namun, siapakah dalam kalangan skuad Hang Tuah yang berbaloi untuk dibawa masuk ke Perak FC dalam membolehkan pasukan tersebut bersaing di antara kelab-kelab gergasi Liga Super? Mungkin, senarai pemain ini merupakan jawapannya.
1. Sony Norde
Tidak boleh dinafikan bahawa pengaruh pemain import bersama pasukan Liga Super adalah sangat besar apabila setiap kelab berlumba-lumba untuk mendapatkan khidmat mereka.
Buat Perak FC, mereka tidak asing lagi dengan perkara tersebut selepas pasukan itu sering diwarnai pemain import, seperti Guilherme de Paula dan Keita Mandjou.
Namun, ketika ini, TBG hanya menampilkan dua pemain luar iaitu Sunday Afolabi serta Luciano Guaycochea setelah pasukan itu tidak mampu menawarkan gaji diharapkan berikutan isu kewangan.
Kehadiran pemilik baharu sepertinya mampu mengubah hal itu apabila mereka mempunyai sumber kewangan yang kukuh serta tarikan dalam membawa masuk pemain import berkualiti.
Norde sudah tidak diturunkan sejak awal Ogos lalu. — Facebook/Melaka United FC
Dalam skuad MUFC, terdapat lambakan penyerang import yang mampu menambah kemampuan jentera serangan skuad kendalian Teong Kim sekiranya berjaya dibawa masuk.
Meskipun majoriti lebih berminat untuk mendapatkan khidmat Ifedayo Olusegun, penyerang kelahiran Nigeria itu dikatakan bakal pulang ke pangkuan Selangor FC yang juga sedang mengalami revolusi di bawah Tan Cheng Hoe.
Oleh itu, Perak FC mempunyai peluang untuk mendapatkan pemain import, Sony Norde yang tidak kurang hebatnya berbanding rakan sepasukannya tersebut.
Sepanjang musim ini, pemain kelahiran Haiti itu berjaya menjaringkan empat gol dalam kesemua 16 perlawanan yang ditempuhi serta berjaya mencipta enam bantuan.
Perkara itu semestinya menarik minat pasukan-pasukan lain dengan Norde mempunyai kelebihan untuk beraksi di posisi sayap meskipun lebih gemar untuk diturunkan sebagai pemain tengah menyerang.
Kental, tangkas dan pandangan yang tajam merupakan sedikit ciri-ciri berharga pemain berjersi no. 10 itu meskipun berada dalam skuad bergelut.
Namun, persoalannya, adakah Teong Kim bakal tertarik dengan Norde apabila usianya sudah menjangkau 33 tahun dengan pengendali itu lebih gemar mendapatkan khidmat pemain muda.
Selain itu, isu kontrak yang dilalui pemain tersebut pasti diberikan perhatian setelah dia sudah tidak diturunkan sejak kekalahan di Sabah FC awal Ogos lalu.
2. Wan Amirul Afiq
Selain statistik, persembahan konsisten di atas padang juga menjadi ukuran sekiranya sesebuah pasukan tertarik untuk mendapatkan khidmat seseorang pemain.
Kesungguhan dan keazaman yang dipamerkan sepanjang 90 minit di atas padang merupakan salah satu faktor dalam memastikan kesesuaian untuk dibawa masuk ketika jendela perpindahan.
Bagi Melaka United, semangat pemain sudah pasti pudar apabila mereka mula berasakan kebajikan tidak diberi perhatian selepas gaji mula tertunggak seawal Jun lalu.
Namun, perkara itu tidak memberi kesan buat tonggak pertahanan, Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman yang tidak henti-henti menabur khidmat buat skuad Hang Tuah meskipun dibelenggu isu kewangan.
Ketika ini, pemain kelahiran Kelantan itu hanya gagal diturunkan dalam tiga perlawanan liga, sekali gus menjadikannya seorang tunjang buat pasukan yang menduduki tangga ke-10 itu.
Wan Amirul Afiq merupakan tonggak pertahanan skuad Hang Tuah. — Facebook/Melaka United FC
Sekiranya diperhatikan rekod pertahanan Melaka United, ia semestinya memberi gambaran buruk buat Wan Amirul Afiq selepas pasukan itu sudah dibolosi sebanyak 36 kali setakat ini.
Tetapi, ia adalah satu kesilapan buat penggemar bola sepak untuk menunding jari ke arah seseorang pemain pertahanan sekiranya gagal menyekat serangan pihak lawan.
Oleh itu, tidak menimbulkan sebarang tanda tanya jika pemain berusia 30 tahun itu antara nama yang bakal disambar Perak FC bagi memperkukuhkan lagi pasukan itu.
Bagaimanapun, pihak pengurusan TBG perlu bertindak pantas dalam mendapatkan Wan Amirul Afiq dengan ura-ura mengatakan sebuah lagi kelab Liga Perdana, Kelantan FC berminat untuk mendapatkan pemain itu.
Meskipun terdapat lambakan pemain pertahanan kanan yang terbuka untuk meninggalkan pasukan masing-masing, pergelutan Melaka United membuka pintu luas buat TBG mendapatkan benteng pasukan itu.
3. Emmanuel Oti
Selain mempunyai peluang untuk mendapatkan Sony Norde, seorang lagi pemain import Melaka United boleh dipertimbangkan untuk dibawa masuk ke dalam skuad TBG musim depan.
Pemain 26 tahun, Emmanuel Oti juga dilihat sebagai salah satu tonggak serangan Asri Ninggal musim ini meskipun baru sahaja menyertai pasukan tersebut awal tahun lalu.
Namun, Oti kelihatan sebagai pilihan yang lebih tepat apabila dia dilihat sebagai pemain lebih muda berbanding Norde, selain juga mampu beraksi di posisi tengah.
Emmanuel Oti mampu menambah kualiti serangan pasukan Liga Super. — Facebook/Melaka United FC
Selain itu, pemain kelahiran Cameroon itu juga mempunyai kemampuan serangan yang lebih berbisa setelah dia berjaya menjaringkan empat gol meskipun hanya terlibat dalam sembilan perlawanan.
Tetapi, Oti juga menghadapi isu seperti rakan sepasukannya itu apabila dia sudah beberapa minggu tidak terlibat bersama pasukan selepas kali terakhir diturunkan ketika bertemu Sri Pahang FC.
Kepantasan dan kecekapan pemain itu pasti diberikan perhatian dengan kemampuannya untuk menyerang ketika situasi serangan balas mampu membawa dimensi baharu buat TBG.
Ketika ini, Oti sudah menarik perhatian pasukan-pasukan Liga Super yang lain apabila dia dilihat mampu menambah baik jentera serangan menerusi kelicikan yang tersendiri.
Tetapi, persoalan timbul akan sumbangannya selepas Perak FC ketika ini mempunyai kedudukan kewangan yang stabil dalam membawa masuk pemain yang lebih prolifik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram