[VIDEO] Kurang sensitif insiden rusuhan stadium Indonesia, admin IJF kena 'sound' dengan TMJ sebab memalukan JDT


  • Tular
  • Selasa, 04 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki menerima teguran keras daripada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenaan hantaran memalukan dimuat naik akaun terbabit.

PASUKAN Johor Darul Takzim (JDT) merupakan sebuah kelab bola sepak yang unggul dan mempunyai jumlah pengikut ramai di Malaysia mahupun luar negara.

Kejayaan JDT didukung kuat oleh sokongan padu diberikan kelab penyokong yang sentiasa memberikan kata-kata semangat buat pemain sama ada di luar mahupun dalam padang.

Namun baru-baru ini, salah sebuah kelab penyokong bola sepak Johor, Inter Johor Firms (IJF) didakwa seolah-olah menconteng arang ke muka rakyat Johor apabila memuat naik posting memalukan di laman Facebook berhubung insiden rusuhan yang mengorbankan 127 nyawa antara Arema FC dan Persebaya di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia pada Sabtu.

Susulan tindakan tidak sesnsitif itu, pemilik akaun kelab terbabit telah ditegur dan diberikan amaran keras oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim.

Teguran itu boleh dilihat menerusi perkongsian video yang dimuat naik di laman TikTok.

Dalam video tersebut, TMJ telah memberikan teguran keras kepada lelaki berkenaan yang dipercayai salah seorang pemilik akaun kelab penyokong tersebut.

Menerusi panggilan telefon yang dirakamkan, TMJ dilihat begitu tegas dalam berkata-kata selain memberikan amaran keras kepada pemuda tersebut.

“Korang ni semua bukan makin lama makin muda, semua makin tua jadi baik cari rezeki sahaja untuk keluarga masing-masing.

“Jangan terikut-ikut dengan budaya pasukan lain, tunjuk la kita ni bertamadun aku tak suka bila budak-budak buat tahi, nama busuk pergi dekat Johor.

“Kau cakap dekat budak-budak kau yang pegang akaun nak tunjuk samseng, jangan sampai aku sapu sorang-sorang, aku cakap betul ni,” katanya.

Difahamkan, TMJ membuat teguran itu berpunca daripada hantaran yang dimuat naik Facebook IJF berhubung tragedi rempuhan penonton bola sepak di Stadium Kanjuruhan, Kabupaten Malang, Indonesia.

Akaun Facebook terbabit didakwa telah menghina rakyat Indonesia dan juga mangsa yang terkorban dalam kejadian itu.

Susulan hantaran tersebut, ia telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen dan sekali gus menyebabkan akaun terbabit dikecam ramai sejak Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram