Meskipun JDT sudah juara, Bergson da Silva tetap 'bernafsu' ratah Sang Kenari, Sri Pahang dan Sabah FC


  • Podium
  • Selasa, 04 Okt 2022

Bergson kekal selaku penjaring terbanyak Liga Super dengan 24 jumlah gol setakat ini. — Facebook/JDT

WALAUPUN sudah mengesahkan kejuaraan saingan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) tetap berjuang habis-habisan untuk meneruskan momentum kemenangan dalam empat perlawanan terakhir.

Kemenangan 5-0 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) dan kekalahan Sabah FC kepada Terengganu FC pada Sabtu lalu menyaksikan JDT bergelar juara apabila kini menghuni takhta liga dengan 46 mata ketika ini.

Saingan Liga Super musim 2022 ini menyaksikan skuad Harimau Selatan meraih trofi buat kali kesembilan berturut-turut musim ini dan kekal memegang takhta sebagai juara bertahan.

Namun, penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva menyifatkan dia dan barisan pemain lain tetap dahagakan kemenangan dalam perlawanan seterusnya kerana mahu mengekalkan rekod bersih tanpa kalah musim ini.

Baginya, semangat JDT tetap tinggi untuk meneruskan persembahan yang cemerlang walaupun pasukan mengesahkan kejuaraan lebih awal.

Screenshot 2022-10-04 at 11.42.32 AM

Bergson meledak dua gol dalam perlawanan menentang NSFC. — Facebook/JDT

Pastinya aksi akan datang bukan mudah apabila JDT akan berkunjung ke Stadium Darul Aman menentang skuad kendalian Aidil Sharin Sahak, Selasa malam.

“Sekarang ini rasa sangat bagus apabila kami sudah juara dan seperti biasa apa yang penting adalah bagaimana pasukan ini bermain.

“Persembahan yang dilakukan (lawan Negeri Sembilan) cukup baik di separuh masa pertama dan kedua yang mana saya rasa kami semakin baik bermain di separuh masa kedua.

“Kami melakukan segalanya untuk meraih kejayaan ini, tetapi kami ada empat lagi perlawanan dan pasukan kena bermain dengan profesional memandangkan liga masih lagi belum berakhir," jelasnya seperti dilaporkan MFL.

Dua gol daripada lima jaringan sewaktu perlawanan menentang NSFC turut hadir daripada penyerang dari Brazil itu dan sekali gus menjadikan Bergson kekal mendahului selaku penjaring terbanyak Liga Super dengan 24 jumlah gol setakat ini.

Namun, baginya yang menjadi keutamaan dan kebanggan adalah gelaran juara yang berjaya diraih selain akan tetap membantu JDT mendapatkan kemenangan selepas ini.

Screenshot 2022-10-04 at 11.39.59 AM

JDT mengesahkan kejuaraan selepas kemenangan 5-0 ke atas Negeri Sembilan. — Facebook/JDT

“Apa pun, trofi dan gelaran juara itu yang lebih penting untuk saya secara peribadi sepertimana yang saya pernah cakap sebelum ini.

“Paling utama adalah pasukan dan kerjasama daripada semua pemain dan itu yang selalu kami lakukan di atas padang.” tambahnya.

Selain aksi berdepan Kedah pada Selasa malam, JDT akan menentang Sri Pahang FC dan Kedah sekali lagi selain perlawanan terakhir akan bertemu Sabah FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram