EMPAT tahun mengemudi Kedah Darul Aman (KDA) FC, perjalanan Aidil Sharin Sahak nampak seperti sudah bertemu penghujungnya.
Prestasi terumbang ambing KDA FC membuatkan penyokong Hijau Kuning mendesak supaya ketua jurulatih baharu dipilih menggantikan bekas pemain bola sepak Singapura itu.
Bakal bertemu Johor Darul Takzim (JDT) pada Selasa, semestinya, harapan tinggi buat penyokong untuk Sang Kenari sekurang-kurangnya mendapat seri dan perlawanan itu juga akan menguji strategi yang akan akan dirancang Aidil Sharin.
Tanpa sebarang kejayaan dan kini berada di kedudukan ke enam dalam Liga Super, penyokong mahukan pembaharuan dalam pasukan.
Namun, ke mana Aidil Sharin akan pergi jika khidmatnya bertemu pengakhiran di KDA FC? Berikut Majoriti senaraikan tiga pasukan yang berkemungkinan boleh mendapatkan khidmat ketua jurulatih berusia 45 tahun itu.
Sri Pahang FC
Sri Pahang FC kini menggunakan khidmat Datuk Dollah Salleh sebagai ketua jurulatih interim sehingga hujung musim.
Namun, Dollah nampaknya tidak berjaya membawa Sri Pahang untuk berada di kelompok atasan liga dan sekadar menghuni tangga ketujuh liga.
Malah, menerusi lima perlawanan terakhir, Tok Gajah hanya menang dua perlawanan, satu seri dan tewas dua kali.
Sehingga kini juga, Sri Pahang belum membuat apa-apa keputusan untuk menjadikan Dollah sebagai ketua jurulatih yang tetap.
Berkemungkinan, Aidil Sharin boleh menjadikan Sri Pahang sebagai lokasi terbaharunya untuk kekal berkhidmat dalam Liga Super.
Penang FC
Berada di kedudukan tercorot dalam Liga Super dan hanya mencatatkan satu kemenangan serta empat kekalahan berturut-turut, Penang FC sememangnya perlukan suntikan semangat baharu.
Penang FC memulakan musim di bawah kendalian Thomas Trucha yang kemudian dipecat dan digantikan dengan Datul Zainal Abidin Hassan.
Namun di bawah kendalian Zainal, Penang FC tetap dilihat berada dalam prestasi tidak menentu dan sukar melepasi tangga tercorot liga.
Penyokong pun sudah mula 'naik angin' dengan prestasi Harimau Kumbang dan mahukan perubahan terutamanya pengendali yang lebih layak.
Ruang itu nampaknya boleh diisi oleh Aidil Sharin apatah Penang FC juga mempunyai pemain yang boleh diharap seperti Lucas Silva dan Endrick Dos Santos.
Sarawak United
Bukan sahaja bergelut dengan masalah kewangan, prestasi Sarawak United nampaknya gagal dibimbing dengan baik oleh pengendalinya, S. Balachandran.
Untuk rekod, Sarawak United kini berada di tangga kedua tercorot dalam Liga Super dan gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lima perlawanan terakhir mereka.
Penghujung September lalu, Bujang Senang mengumumkan yang mereka telah memiliki penaja baharu.
Ini bermaksud kemelut kewangan sudah pulih dan Aidil Sharin boleh menjadi jawapan untuk mereka memulihkan kembali prestasi pasukan pula.
Menerusi kemasukan Aidil Sharin dan kemasukan beberapa pemain baharu boleh memberi kekuatan kepada Bujang Senang untuk kembali menjadi pemangsa dalam Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram