PERTEMBUNGAN antara pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) dan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan Liga Super pada Selasa pastinya lebih daripada sekadar perlawanan bola sepak biasa.
Ini kerana, drama pertikaman lidah antara Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim sering mewarnai arena bola sepak negara sejak sekian lama.
Perbalahan yang sering diadakan menerusi media sosial itu tidak pernah mengecewakan apabila kedua-dua pihak bijak menggunakan bunga bahasa dan kata-kata kiasan sebelum ini.
Sanusi terkenal dengan kelantangannya mengkritik setiap kejayaan pasukan Harimau Selatan dan kritikan tersebut pasti mendapat reaksi balas daripada Tunku Ismail.
Namun apa yang menarik perhatian penyokong tempatan pada aksi di Stadium Darul Aman pada Selasa adalah pasukan Kedah dijangka memberikan layan istimewa kepada pasukan JDT dengan melakukan 'guard of honour'.
Percakaran Sanusi (kiri) dan TMJ di media sosial sering dinanti-nantikan penyokong kedua-dua pasukan.
Upacara 'guard of honour' dilakukan sebagai satu bentuk penghormatan buat pasukan JDT yang baru sahaja mengesahkan kejuaraan Liga Super pada Sabtu lalu.
Mungkin, acara memberi penghormatan tersebut pasti seakan-akan menconteng arang ke muka Sanusi yang tidak pernah lelah mencari kesalahan skuad dari Selatan itu.
Bagi menambah lagi garam ke luka Sanusi, penyokong Harimau Selatan berharap ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio menurunkan anak jati Kedah, Akhyar Rashid dan bekas 'ubi' Kedah, Syafiq Ahmad pada perlawanan menentang Kedah pada Selasa.
Penyokong JDT, Nasruddin Omar menyokong saranan tersebut sebagai balasan kepada Sanusi yang gemar membangkitkan isu anak jati kedua-dua pasukan.
"Mereka (Akhyar dan Syafiq) layak bermain dan rasanya mereka akan diturunkan untuk mengubati luka Sanusi yang pasti sedang meratap dan kecewa. Yelah, dapat tengok anak jati main atas padang Darul Aman," katanya.
Samsudin Mahmood menambah: " Cantik!!! Kalau boleh jaringkan gol hadiah buat Pak Nusi!".
"Aku nak sangat tengok dua orang ini (Akhyar dan Syafiq) yang masukkan bola dalam gawang Kedah nanti," ujar Mohd Haither. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram