Amaran penyokong TFC kepada Gergasi Merah, balas dendam kalau sambar 'star player'


  • Podium
  • Rabu, 28 Sep 2022

Penyokong TFC semestinya mengharapkan momentum yang dibina mampu ditambah baik dengan kemasukan pemain baharu. — Facebook/Terengganu FC

KHABAR angin mengenai perpindahan pemain adalah rencah tambahan bagi menaikkan lagi minat dan semangat penyokong dalam mengikuti perkembangan semasa sukan itu.

Meskipun perkara itu tidak disahkan pihak pengurusan atau barisan kejurulatihan, ura-ura yang memenuhi media sosial memberikan sedikit gambaran mengenai perancangan yang dilakukan.

Ketika ini, arena bola sepak tempatan dilimpahi khabar mengenai pasukan gergasi Liga Super, Selangor FC yang dikatakan mencari wajah-wajah baharu buat musim depan.

Diterajui Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, tentunya ia memberi harapan kepada penyokong yang sudah lama mengimpikan kejayaan dibawa semula ke pasukan itu.

Selain itu, kehadiran ketua jurulatih berpengalaman, Tan Cheng Hoe mendatangkan kelegaan apabila sentuhan bekas pengendali skuad kebangsaan itu sering membawa hasil.

Nama yang disebut-sebut bakal menyertai pasukan Gergasi Merah itu ialah tonggak serangan Terengganu FC, Faisal Halim dengan pemain itu berjaya menempa namanya beberapa musim kebelakangan ini.

Kemampuan untuk melakukan percubaan berbisa dengan kedua-dua kaki kiri dan kanan menjadi aset utama dalam menaikkan reputasinya sebagai salah seorang penyerang berbisa.

305586808_1548136875616988_477832055390969121_n

Mampukah Terengganu FC mencari pengganti sekiranya Faisal meninggalkan kelab itu. Facebook/Terengganu FC

Tidak cukup dengan itu, kebolehan Faisal untuk melakukan hantaran berbahaya kepada rakan sepasukan juga menarik tumpuan dengan enam bantuan gol berjaya direkodkan dalam Liga Super.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya pihak pengurusan Selangor FC bersungguh-sungguh dalam mendapatkan khidmat pemain berusia 24 tahun itu bagi memperbaiki barisan serangan.

Perkara itu pastinya memberi perasaan kurang senang buat penyokong Sang Penyu yang tidak sanggup untuk kehilangan Faisal selepas beberapa musim menabur bakti.

Namun, pemergian Faisal juga dilihat sebagai satu kelebihan buat Terengganu FC dengan yuran perpindahan buat pemain itu pastinya mampu dilaburkan dengan cermat.

Meskipun tumpuan diberikan untuk mencari pemain sayap baharu, penambah baikan secara menyeluruh juga boleh dilakukan dalam memberi saingan musim depan.

Salah satu posisi yang boleh ditambah baik ialah pemain tengah yang mempunyai kebolehan untuk membaca gerak-geri serangan dilancarkan pihak lawan.

Ketika ini, hanya Azalinullah Alias dan Faiz Nasir yang mampu mengisi posisi itu dengan kedua-dua pemain tersebut menghadapi isu yang berbeza dalam skuad Sang Penyu.

Azalinullah kelihatan semakin sukar untuk mendapatkan minit permainan apabila dia hanya perlu berpuas hati di bangku simpanan sambil menyaksikan Faiz beraksi.

Tetapi, masalah juga menimpa Faiz dengan pemain itu sudah mencecah usia 30 tahun dengan sumbangannya semakin terhad dan tidak seperti musim-musim sebelum ini.

WhatsApp Image 2022-09-28 at 13.42.28

Sharul Nazeem menjadi sasaran penyokong Terengganu FC bagi beraksi di posisi tengah. Facebook/Selangor FC

Oleh itu, pihak pengurusan pasti mempunyai perancangan untuk mendapatkan pengganti jangka masa panjang yang mempunyai kebolehan untuk beraksi di posisi tersebut.

Namun, penyokong Sang Penyu seakan-akan sudah menggesan pemain yang mampu mengisi kekosongan itu dengan meletakkan pemain muda Selangor FC, Sharul Neezam Zulpakar.

Walaupun Sharul ketika ini masih belum menunjukkan kemampuan sepenuhnya, isu itu tidak akan memberi kesan apabila pemain berusia 22 tahun itu berjaya menampilkan kebolehannya dalam usia muda.

Selain itu, pemain kelahiran Gombak, Selangor itu juga dikenali sebagai seorang yang serba boleh apabila dia juga mampu beraksi dalam benteng pertahanan.

Bagi Iqie Muhammad, ciri-ciri permainan yang dimilki Sharul menjadi satu daya tarikan dengan sumbangannya di tengah padang mampu menambah baik kebolehan pasukan tersebut.

"Sharul Nazeem boleh bermain sebagai pemain tengah bertahan. Jadi, jika dia dibawa masuk oleh staf kejurulatihan musim depan sekiranya bertepatan dengan taktikal.

"Dia ada kekuatan, kelajuan dan sangat baik dalam situasi bertahan dan ia menjadikan dia sesuai dalam posisi itu kerana Terengganu FC hanya mempunyai Azalinullah sebagai pemain tengah," katanya.

Perkara itu turut disuarakan Izzul Iman dengan melihat Sharul mempunyai kebolehan seperti mana boleh ditawarkan pemain Negeri Sembilan FC, Khuzaimi Piee yang juga diburu beberapa pasukan Liga Super.

"Betul, dia sebenarnya menggantikan Alif Zakaria (ketika bertemu Thailand) dan saya lihat Sharul mengisi posisi pemain tengah bertahan sekiranya pasukan sedang menyerang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram