Andai Faisal Halim tinggalkan Sang Penyu, 3 calon dari JDT, KL dan Sabah boleh isi tempatnya


  • Podium
  • Rabu, 28 Sep 2022

Faisal Halim (tengah) berjaya menjaringkan empat gol serta mencipta empat hantaran yang berjaya disudahkan pasukan simpanan. — Facebook/Terengganu FC

KETIKA ini, kencang khabar angin di media sosial mengatakan pemain sayap, Faisal Halim bakal meninggalkan Terengganu FC selepas menyertai kelab Pantai Timur itu pada 2021.

Sepanjang dua musim menabur bakti, pemain bertubuh kecil itu berjaya menempa namanya sebagai salah seorang penyerang yang berbahaya dengan kelajuan serta kelincahannya.

11 gol dan 12 hantaran yang berjaya dicipta dalam 43 perlawanan bersama skuad Sang Penyu memastikan pasukan itu berjaya menampilkan persembahan konsisten.

Selain itu, kemampuan Faisal untuk menggunakan kedua-dua belah kakinya untuk melakukan percubaan menarik minat pasukan gergasi Liga Malaysia dalam mendapatkan khidmatnya musim depan.

Jadi, wajar untuk dikatakan bahawa masa pemain berusia 24 tahun itu bersama skuad Sang Penyu menemui penghujung bagi meneruskan kariernya ke tahap lebih tinggi dalam arena bola sepak tempatan.

Perkara itu pastinya membawa kebuntuan kepada pihak pengurusan dan penyokong dalam mencari pengganti yang mempunyai sentuhan dan kebolehan seperti yang mampu dibawa Faisal.

Namun, dalam kalangan pemain sayap yang beraksi di Liga Super, terdapat beberapa individu yang dilihat mampu dibawa ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi mengisi kekosongan berikutan pemergian pemain berbisa itu.

1. Safawi Rasid

Kualiti pemain yang membanjiri Johor Darul Takzim (JDT) sememangnya sukar disangkal apabila tindakan pihak pengurusan ketika jendela perpindahan gagal mengecewakan.

Selain itu, kemudahan dan penekanan ke atas program pembangunan Harimau Selatan juga menjadi kunci dalam melahirkan pemain muda yang mampu membawa pasukan itu ke tahap yang lebih tinggi.

Perkara itu pastinya membawa saingan sihat buat pemain dalam memastikan tempat mereka dalam kesebelasan utama berjaya dikekalkan meskipun terdapat wajah-wajah baharu.

Namun, ada juga yang kurang bernasib baik apabila terpaksa mengorbankan minit-minit permainan berikutan kehadiran pemain yang lebih berkualiti dalam pelbagai aspek permainan.

Salah satu 'mangsa' di atas situasi itu ialah pemain sayap, Safawi Rasid yang hanya terpaksa akur di bangku simpanan untuk melihat aksi penyerang muda, Arif Aiman Hanapi.

1322736

Sejak pulang dari Portimonense FC, Safawi semakin kehilangan tempat bersama JDT. Agensi

Selepas menyertai Harimau Selatan pada 2017, pemain kelahiran Terengganu itu sering menunjukkan persembahan bersemangat dengan menjaringkan gol-gol penting dan melakukan hantaran berbahaya.

Tetapi, peluang pemain kebangsaan itu untuk diturunkan semakin terjejas sejurus kepulangannya daripada pindahan secara pinjaman ke kelab Portugal, Portimonense.

Ia diburukkan lagi dengan kehadiran Arif Aiman yang dibawa masuk daripada JDT II berikutan sentuhan dan bakatnya bersama pasukan simpanan tersebut.

Oleh itu, skuad Sang Penyu kelihatan sebagai destinasi sesuai bagi Safawi sekiranya dia terbuka untuk mendapatkan minit-minit permainan dalam meneruskan kariernya.

Perkara itu adalah berikutan beberapa faktor yang kelihatan sesuai dalam membawa pemain berusia 25 tahun itu dalam menyertai Terengganu FC musim depan.

Pertama, Safawi merupakan bekas pemain pasukan simpanan Sang Penyu, T-Team sebelum menyertai Harimau Selatan bagi mengembangkan lagi bakat dan kebolehannya.

Meskipun pelbagai perubahan sudah berlaku dalam Terengganu FC, kepulangan itu pasti membawa faedah kepada kedua-dua pihak apabila Safawi masih mempunyai sentuhan yang berbisa.

Bagi pasukan itu pula, sumbangan Safawi mampu menambah baik ancaman barisan serangan yang berkemungkinan kehilangan Faisal Halim dalam musim akan datang.

2. Kogileswaran Raj

Salah satu ciri yang menjadikan Faisal sebagai salah seorang pemain yang digemari pihak pengurusan Terengganu FC ialah usianya yang masih muda dengan perkara itu mampu menjadi aset bagi sesebuah pasukan.

Selain itu, pengalaman pemain itu bersama skuad Harimau Malaya juga merupakan perkara yang menarik minat kelab-kelab lain dalam menjadikannya sebagai sasaran utama ketika jendela perpindahan akan datang.

Meskipun perkara itu dilihat tidak memberi impak besar ke atas kemampuannya di atas padang, ia masih menambah nilai seseorang pemain, lebih-lebih lagi sekiranya mereka merupakan tonggak pasukan.

PJ City FC's Kogileswaran Raj s/o Mohana Raj taking the penalty shoot-out and scores the third goal while against Pahang in the Super League match at Uitm Stadium in Shah Alam last night. IZZRAFIQ ALIAS / The Star. March 6, 2020.

Kogileswaran Raj merupakan seorang pemain yang mampu menggantikan Faisal Halim.

Jadi, andai kata penghijrahan Faisal disahkan, seorang pemain yang memenuhi ciri tersebut adalah pemain Petaling Jaya (PJ) City FC, Kogileswaran Raj.

Selepas menempa nama dalam saingan Piala AFF 2020, pemain berusia 24 tahun itu berjaya menarik perhatian beberapa pasukan meskipun namanya jarang disebut-sebut.

Kogi yang ketika itu berada di Sri Pahang FC tidak mempunyai pulangan gol yang prolifik sehingga membuka peluang pemain kelahiran Kuala Lumpur itu diburu pasukan-pasukan besar.

Namun, ia tidak mematikan semangat pemain itu dalam kancah bola sepak apabila dia menyertai pasukan yang berpengkalan di Lembah Klang pada 2020.

Musim ini, Kogi hanya menjaringkan dua gol dalam saingan Liga Super dalam menghidupkan peluang pasukan kerdil itu untuk layak ke saingan Piala Malaysia 2022.

Meskipun ia dilihat sebagai jumlah yang mengecewakan, prestasi dan bakat Kogi masih boleh dikembangkan melihat kepada usianya yang masih muda dan keazaman dimilikinya.

Selain itu, Terengganu FC juga dilihat sebagai destinasi yang sesuai buatnya dengan pasukan itu terkenal dalam melahirkan serta menggilap bakat-bakat dalam bola sepak tempatan, termasuk Faisal Halim.

Di samping itu, Kogi juga merupakan seorang pemain yang serba boleh apabila dia boleh diturunkan di sayap kanan atau kiri mahupun penyerang tunggal.

3. Saddil Ramdani

Sejak menyertai Sabah FC pada awal musim lalu, pemain Indonesia, Saddil Ramdani berjaya meletakkan namanya sebagai seorang pemain yang boleh menggalas tanggungjawab besar.

Meskipun baru sahaja berusia 23 tahun, pemain itu berjaya menampilkan persembahan yang matang di atas padang dalam usaha membantu skuad The Rhinos mengejar slot ke pentas Asia musim depan.

Tiga gol dan lima bantuan yang berjaya direkodkan menjadi bukti di atas kemampuan Saddil dengan pencapaian itu berjaya meraih perhatian pelbagai pasukan, termasuk kelab Liga 1 Indonesia.

305091520_3343205759259867_585197344449774845_n

Saddil Ramdani berjaya menarik minat pasukan Liga Super dengan prestasinya itu. Facebook/Sabah FC

Baru-baru ini, khabar angin juga mengatakan pemain berusia 23 tahun itu dikhabarkan menuju pintu keluar dari Sabah FC dalam usaha meraih lebih banyak kejayaan.

Meskipun pemergiannya masih belum disahkan, pasukan Liga Super, termasuk Terengganu FC kelihatan sebagai satu destinasi yang sesuai buat pemain sayap itu.

Pemergian Faisal Halim juga dilihat mampu membuka pintu lebih luas buat Saddil dengan Terengganu FC pastinya mencari pemain dengan gaya permainan yang tidak kurang bezanya.

Usianya yang masih muda juga bukanlah satu penghalang apabila ciri itu menjadi perkara yang dicari dalam menggantikan pemain sayap kanan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram