'Keli Boy' asyik taji kaki Tajikistan, Haqimi Azim patut ganti Sumareh


  • Podium
  • Isnin, 26 Sep 2022

Sumareh digantikan dengan pemain sayap lincah, Faisal Halim pada awal babak kedua perlawanan bertemu Tajikistan pada Ahad. — Facebook/FAM

TIDAK bernasib baik, demikian situasi yang boleh menggambarkan kekalahan Harimau Malaya apabila tumpas 0-3 kepada Tajikistan dalam penentuan sepakan penalti bagi kejohanan Piala Raja Thailand di Chiang Mai, Thailand, pada Ahad.

Setelah 90 minit aksi berlangsung di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai itu berakhir tanpa jaringan, penjaga gol lawan, Rustam Yatimov muncul wira pasukannya apabila menyelamatkan dua sepakan awal oleh pemain pertahanan, Dion Cools dan tonggak tengah, Muhammad Nazmi Faiz Mansor.

Percaturan baharu yang dilakukan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon dengan menurunkan trio Mohamadou Sumareh, Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid sebagai kesebelasan utama tampaknya gagal memberikan kesan kepada pihak lawan.

HM

Kesebelasan utama Harimau Malaya sewaktu menentang Tajikistan. — Facebook/FAM

Namun, mata penyokong tertumpu pada pemain naturalisasi, Sumareh kerana gagal mengawasi emosi apabila melakukan banyak tindakan agresif terhadap pihak lawan sehingga dilayangkan kad kuning oleh pengadil.

Menyifatkan aksi libas yang dilakukan oleh Sumareh terhadap pihak lawan itu seperti seorang ahli gusti, rata-rata penyokong mengharapkan agar pemain dengan gelaran ‘Keli Boy’ itu tidak diturunkan lagi dalam skuad kebangsaan.

“Sumareh tukar bidanglah, masuk WWE pula,” komen penyokong Harimau Malaya, Trick Ster.

“Sumareh bukan tak bagus, dia fungsi teruk atas padang tapi berfungsi sebagai keli, asyik melibas orang sahaja. Mujur tak tempang HM (Harimau Malaya) malam ini dengan 10 pemain,” tulis Ahmad Ridzalman Jamal.

“Sumareh itu elok dikeluarkan. Ingatkan padang bertakung beri kelebihan buat si Keli Boy. Tapi lagi hampah dari haruan,” komen Bangsa Final.

HAQIMI

Haqimi Azim (kanan) menjaring gol pertamanya buat skuad Warga Kota pada perlawanan menentang Sri Pahang FC. — Facebook/MFL

Rentetan dari aksi kurang memuaskan yang ditampilkan oleh Sumareh, penyokong bola sepak tanah air memetik prospek baharu negara, Muhammad Haqimi Azim Rosli untuk menggantikan posisinya.

“Lebih baik guna kuota Sumareh itu untuk gantikan dengan Haqimi Azim. Boleh juga jadi gantikan Darren Lok kemudian hari,” cadang penyokong, Cekodok Basi.

Pemain Kuala Lumpur City FC itu membuktikan kemampuannya apabila tidak mensia-siakan peluang diberi oleh Bojan Hodak untuk membarisi kesebelasan utama skuad Warga Kota.

Baru berusia 19 tahun, Haqimi Azim dilihat sangat sesuai untuk dipanggil ke skuad kebangsaan dan boleh memberikan ruang untuk Pan-gon menggilap potensi penyerang muda itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram