Aksi 'sakit jantung' Piala Raja Thai bukan milik Harimau Malaya


  • Podium
  • Ahad, 25 Sep 2022

Pemain kebangsaan, Akhyar Rashid (tengah) bertungkus-lumus dalam memecahkan kebuntuan sepanjang perlawanan.

SKUAD Harimau Malaya gagal menamatkan penantian selama 44 tahun untuk menjulang Piala Raja Thailand selepas ditumpaskan pasukan daripada Asia Tengah, Tajikistan.

Meskipun jelas dikuasai pasukan di tangga ke-109 itu pada separuh masa pertama, anak-anak buah Kim Pan-gon (KPG) tidak berputus asa apabila terus menunjukkan kualiti dan kesungguhan.

Situasi padang yang basah berikutan hujan lebat pada awal perlawanan menyebabkan kedua-dua pasukan sukar untuk mengekalkan rentak dalam melakukan hantaran.

Bagi pasukan kebangsaan pula, pertukaran barisan serangan yang menampilkan trio Mohamadou Sumareh, Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid kelihatan kurang berkesan apabila mereka sukar untuk menembusi benteng pertahanan Tajikistan.

Tidak cukup dengan itu, aksi hangat juga berlaku di antara pemain merencatkan lagi gaya permainan yang cuba diterapkan ketua jurulatih.

Pada babak kedua perlawanan pula, serangan demi serangan terus dilancarkan pasukan lawan apabila skuad kebangsaan masih sukar untuk mengekalkan rentak.

Kehilangan pemain tengah, Azam Azih yang dilayangkan kad merah dalam pertembungan sebelum ini jelas dirasai apabila penyokong melihat sumbangan Nazmi Faiz Mansor kurang menyerlah.

Permainan yang dibawa ke penentuan penalti itu sekali lagi menyaksikan kemampuan penjaga gawang, Syihan Hazmi apabila dia tenang menyelamatkan sepakan kapten penalti pasukan lawan, Akhtam Nazarov.

Namun, kegoyahan berubah menjadi milik pasukan kebangsaan apabila sepakan pemain pertahanan, Dion Cools tidak berjaya menggegarkan gawang selepas tendangannya ditepis.

Penjaga gol Tajikistan, Rustam Yatimov terus memastikan kekecewaan buat Harimau Malaya apabila tenang menyelamatkan sepakan daripada Nazmi Faiz.

Skuad Harimau Malaya sekali lagi kecewa apabila sepakan pemain berjersi no. 11, Safawi Rashid terkena palang sekali gus menyukarkan peluang Harimau Malaya.

Sementara itu, perlawanan untuk menentukan pasukan di tempat ketiga dimenangi pasukan tuan rumah, Thailand yang menundukkan wakil daripada kepulauan Carribean, Trinidad & Tobago.

Kemenangan yang diraih menerusi jaringan Channarong Promsrik dan Supachok Sarachat mematikan percubaan pasukan pelawat yang cuba bangkit menerusi jaringan sendiri pemain tengah skuad Gajah Perang, Kritsada Kaman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram