Apa nasib De Paula menjelang Piala AFF?


  • Podium
  • Isnin, 12 Sep 2022

De Paula dikatakan tidak sepadan dengan corak permainan jurulatih Harimau Malaya, kata pemerhati bola sepak tempatan.

WALAUPUN dikritik peminat bola sepak tempatan, penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula tetap dianggap sebagai pemain yang berpotensi dan mampu untuk membantu pasukan kebangsaan untuk meraih kejayaan.

Perkara tersebut disuarakan oleh pemerhati sukan, Rizal Hashim yang menyifatkan figura kelahiran Brazil ini sebagai pemain cemerlang, namun tidak sepadan dengan corak permainan jurulatih Kim Pan-gon dan Tan Cheng Hoe.

"Disebabkan De Paula sudah jadi rakyat Malaysia, dia berhak diberi peluang untuk dipilih oleh jurulatih kebangsaan, misalnya Tan Cheng Hoe pada 2021 dan seterusnya Kim Pan-gon pada tahun ini.

"Sekali imbas, kita lihat De Paula seorang penyerang bersifat targetman yang memberi jurulatih pilihan berbeza dalam merencanakan strateginya. Cuma De Paula dilihat tidak sesuai dengan corak permainan yang diterapkan oleh Cheng Hoe dan Pan-gon," katanya kepada Majoriti.

Pandangan itu diberikan Rizal ketika mengulas mengenai hak status naturalisasi pemain luar untuk mewakili pasukan kebangsaan.

Kekuatan fizikal dan sentuhan jaringannya melonjakkan nama penyerang Johor Darul Takzim (JDT) itu sebagai calon untuk diberi kerakyatan namun malangnya prestasi tidak menjadi di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2021 dan Piala AFF 2021 menyebabkan dia tidak dipilih oleh Pan-gon untuk Tri-Nation Series di Singapura pada Mac 2022.

"Bagaimanapun pada untuk kelayakan Piala Asia, De Paula dipanggil bagi memberi Pan-gon untuk memberikan ucapan mempelbagaikan taktik sekali pun tanpa ada minit permainan bersama JDT.

"Bagi saya setiap pemain ada peranan masing-masing, cumanya De Paula tidak berjaya menterjemahkan kepercayaan yang diberi itu kepada prestasi yang bagus," jelas Rizal.

Dalam pada itu, senarai nama rasmi pemain mewakili Harimau Malaya ke Piala AFF 2022 setakat ini belum dikeluarkan.

Malaysia berada dalam kumpulan B bersama Vietnam, Singapura, Myanmar dan Laos.

Sementara itu, pemain Brazil, Rizal menyifatkan Paulo Josue dilihat tidak bersesuaian untuk diberikan hak naturalisasi memandangkan usianya yang sudah mencecah 33 tahun.

"Paulo Josue hanya menjejakkan kaki ke Malaysia pada 2017, jadi baru sekarang dia boleh dinaturalisasikan dan itu pun jika dipersetujui oleh pembuat dasar.

"Andai belajar daripada kesilapan, lebih elok melabur kepada pemain lebih muda yang boleh menyumbang lebih lama," katanya mengenai pemain Kuala Lumpur City itu.

Pada masa sama, mengulas mengenai tiga pemain naturalisasi iaitu Sumareh, Krasniqi dan De Paula, Rizal memberitahu, ketiga-tiganya memenuhi syarat Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Disebabkan hanya tiga pemain Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan De Paula yang memenuhi syarat FIFA dan FAM tiada pilihan lain selain menyandarkan harapan kepada tiga serangkai ini.

"Faktor penting Harimau Malaya layak ke Piala Asia ialah kemampuan Pan-gon membentuk gandingan yang serasi membabitkan pemain anak jati, pemain warisan dan naturalisasi mengikut acuan dan falsafahnya," terangnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram