TATKALA saingan Liga Malaysia semakin melabuhkan tirainya, setiap pasukan sudah tentu akan melakukan persiapan awal bagi menghadapi musim depan dengan membawa masuk wajah-wajah baharu.
Perubahan format yang diumumkan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) juga memberi amaran kepada staf kejurulatihan dengan kenaikan jumlah pasukan bertanding kepada 18 berbanding 12 ketika ini.
Oleh itu, jendela perpindahan yang dijangka dibuka pada November atau Disember semestinya menyaksikan perpindahan sensasi pemain berdasarkan kemampuan dan kesesuaian taktikal di atas padang.
Perkara itu mula dirasai apabila khabar angin mula kuat bertiup kencang di media sosial dan dada akhbar yang mengaitkan seseorang dengan perpindahan keluar daripada pasukan ketika ini.
Misalnya, ura-ura yang mengatakan pemain sayap Terengganu FC, Faisal Halim bakal meninggalkan skuad Sang Penyu sudah menjadi perkara normal dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Selain itu, pengambilan bintang-bintang antarabangsa seperti pemain Sevilla FC, Alejandro Gomez yang dikaitkan dengan Johor Darul Takzim (JDT) juga rancak diperkatakan.
Meskipun perkara itu tidak disahkan oleh pihak atasan, ia seakan-akan memberi harapan dan keterujaan buat penyokong yang semakin ghairah untuk melihat kemampuan kelab masing-masing musim depan.
Namun, di sebalik khabar angin itu, ada juga segelintir penyokong yang merasakan pasukan yang diminatinya tidak mempunyai sebarang perkhabaran atau keazaman untuk membawa wajah-wajah baharu.
Sri Pahang FC berada di tangga ketujuh Liga Super selepas permulaan musim yang sukar. — Facebook/Sri Pahang FC
Dalam satu perkongsian di kumpulan WhatsApp Tok Gajah Fans Club, perkara itu mula disuarakan dengan mengatakan pihak pengurusan Sri Pahang FC seakan-akan kurang aktif dalam menghadapi jendela perpindahan.
Pasukan yang berada di kedudukan ketujuh dalam liga itu pastinya memerlukan perubahan ketara sekiranya berhajat untuk turun dengan saingan yang lebih getir.
Bagi Slumburz 147, dia berasakan pihak pengurusan tidak bergerak seperti mana yang telah dilakukan skuad Liga Malaysia dalam menambah baik kualiti dan kuantiti pemain.
"Sri Pahang FC tidak melakukan sebarang usaha untuk mencari pemain baharu ke? Geram pula apabila saya hanya mampu melihat kelab lain yang sudah melakukan perancangan meskipun musim 2022 masih belum berakhir," katanya.
Perkara itu turut dipersetujui seorang lagi penyokong, Rafi Rahman yang berkata, pendekatan itu seperti satu kebiasaan buat pihak pengurusan Tok Gajah.
"Mereka memang seperti itu, gemar untuk mengambil pemain pada minit-minit akhir jendela perpindahan seperti yang berlaku buat beberapa musim sebelum ini," katanya.
Seorang lagi penyokong, Alif Arrohim pula berkata, aktiviti semasa jendela perpindahan buat Sri Pahang FC seakan-akan dilakukan di minit-minit akhir tanpa membuat penilaian dan pemerhatian yang secukupnya.
"Tenang sahaja, seperti kita tidak pernah melalui perkara itu. Mula-mula, pemain yang dibawa masuk seperti seorang yang hebat tetapi, selepas kelamaan, sudah menjadi seorang pemain normal sahaja," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram