Kelab baharu masih misteri, Faisal Halim yakin julang Piala Asia jika bergandingan bersama Arif Aiman


  • Podium
  • Isnin, 19 Sep 2022

Faisal masih belum masih belum memutuskan sama ada akan menerima tawaran dari kelab lain ataupun sebaliknya. — Facebook FAM

KHABAR angin mengenai perpindahan pemain sayap Terengganu FC (TFC), Faisal Halim ke sebuah kelab besar tanah air semakin hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Setakat ini, Selangor FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan kelab lamanya, Sri Pahang FC adalah antara nama-nama skuad besar yang dikatakan sedang dalam usaha untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 24 tahun itu.

Bagaimanapun, sehingga kini pemain kelahiran Pulau Pinang tersebut masih belum memutuskan sama ada akan menerima tawaran dari kelab lain ataupun meneruskan tahun ketiga bersama skuad Penyu.

Keputusan ke kelab baharu itu masih kekal misteri dengan kini matlamat Faisal hanya ingin fokus menghabiskan liga bersama TFC dan terbaharu untuk membantu Harimau Malaya memenangi King’s Cup (Piala Maharaja Thai) 2022 di Chiang Mai, Thailand.

Faisal atau mesra disapa dengan panggilan Mickey itu mempunyai harapan besar terhadap pemain Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman bagi membantu Malaysia menjulang kejohanan itu.

WhatsApp Image 2022-09-19 at 4.08.52 PM

Skuad Harimau Malaya tekad memberi tentangan sengit pada Kejohanan Piala Raja Thailand di Chiang Mai. — Facebook FAM.

“Kemampuan kita tak boleh nafikan Arif Aiman di bahagian kanan. Dia memang seorang pemain muda yang bagus. Saya bangga dengan Arif Aiman.

“Sudah tentu jika kita pergi sesuatu kejohanan, jurulatih nak ke final. Kita nak piala itu tapi kita berlawan dengan tuan rumah, ia tidak mudah. Kita tahu bagaimana kemampuan Thailand,” katanya kepada pemberita sebelum pasukan Harimau Malaya berlepas ke Thailand.

Tonggak skuad Penyu itu berpendapat jika Malaysia mampu menewaskan Thailand pada kejohanan Piala Maharaja Thai pasti akan membuka jalan mudah ke Piala Asia.

“Ini adalah satu ujian buat pasukan Malaysia. Kita berlawan dengan ranking yang tinggi. Kalau kita mampu mengatasi di Thailand, sudah tentu kita ada kelebihan di Piala Asia.

“Sekiranya kita mampu sekat Thailand, itu memang terbaik,” jelasnya.

Selain Thailand selaku tuan rumah, tiga pasukan turut menyertai Piala Maharaja Thai adalah Malaysia (ranking 148), Tajikistan (109) dan Trinidad & Tobago (101).

Harimau Malaya akan bertemu tuan rumah, Thailand pada perlawanan pertama saingan Piala Raja Thailand 2022 di Chiang Mai, pada 22 September 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram