Miliki kelebihan tersendiri, pasukan mana layak ke Piala AFC musim depan?


  • Podium
  • Selasa, 20 Sep 2022

Prospek bermain di pentas Asia membawa pelbagai kelebihan buat sesuatu pasukan. — Agensi

BAKI persaingan Liga Super semakin hangat dengan garisan penamat semakin jelas kelihatan selepas satu musim yang cukup menarik dihidangkan kepada peminat bola sepak tempatan.

Dengan hanya empat perlawanan berbaki buat kebanyakan pasukan, setiap badan pengurusan pasti sudah mengalihkan tumpuan untuk musim depan yang semestinya lebih mencabar.

Meskipun tirai liga hampir dilabuhkan, persaingan untuk memutuskan juara Liga Super masih belum dimuktamadkan dengan Sabah FC masih memberi tekanan kepada pendahulu, Johor Darul Takzim (JDT).

Walaupun kelebihan masih berpihak buat Harimau Selatan yang hanya bermain 17 kali setakat ini, keputusan seri dicatatkan dalam dua perlawanan liga berturut-turut pasti meresahkan penyokong dan staf kejurulatihan.

Di samping kejuaraan liga yang masih belum dimuktamadkan, peluang untuk beraksi di pentas Asia juga masih cerah buat beberapa pasukan yang tidak henti-henti mengejar dua slot berharga itu.

Antara pasukan yang dilihat mempunyai peluang cerah ialah Sabah FC, Negeri Sembilan FC, Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) yang masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Tetapi, di sebalik kemampuan itu, mereka juga masih mempunyai cabaran dan halangan yang perlu ditempuhi bagi melayakkan diri ke saingan Piala AFC 2023.

Sabah FC

Di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee (OKS), Sabah FC kelihatan sebagai satu pasukan yang mencipta kejutan apabila ketika ini berada di kedudukan kedua liga.

Kebijaksanaan untuk mendapatkan barisan pemain berpengalaman dan tidak disambung kontrak merupakan langkah awal untuk memperbaiki prestasi berbanding musim lepas.

Pemain senior, seperti Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi Che Mat dilihat sebagai tulang belakang The Rhinos dengan kehadiran mereka di bilik persalinan memastikan persembahan di atas padang terus konsisten.

Pasukan yang stabil dari segi serangan dan pertahanan juga menjadi kunci di atas kemampuan mereka musim ini untuk beraksi dengan konsisten dalam Liga Super.

Tidak cukup dengan itu, sokongan yang tidak putus-putus daripada penyokong dalam setiap perlawanan pasti menaikkan lagi semangat dalam mengejar slot keemasan itu.

306914827_3334463296800780_8275428998289574143_n

Mampukah Sabah FC bangkit semula selepas kekalahan yang dicatatkan? — Facebook/Sabah Football Club

Tetapi, pasukan itu menghadapi satu kesukaran apabila mereka menghadapi tekanan tersendiri dan jangkaan melangit yang diberikan penyokong.

Perkara itu dilihat dalam tiga pertembungan liga sebelum ini yang menyaksikan mereka tidak berjaya mencatatkan sebarang kemenangan dengan hanya dua mata berjaya dikumpul.

Selain itu, skuad itu juga perlu menghadapi JDT dan Terengganu FC yang pasti memberi saingan getir dengan masing-masing mempunyai objektuf mencabar pada hujung musim ini.

Kedua-dua pertembungan itu pasti diberikan perhatian sepenuhnya daripada barisan kejurulatihan yang mahu menamatkan penantian lebih 20 tahun untuk beraksi di pentas Asia.

The Rhinos musim ini sudah berjaya mengumpul 36 mata, dan meskipun dengan persembahan yang sedikit goyah ketika ini, mereka pasti melakar satu lagi kejutan sebelum musim melabuhkan tirai.

Negeri Sembilan FC

Pergelutan yang dialami beberapa pasukan gergasi, seperti Kedah Darul Aman FC dan Sri Pahang FC musim ini membuka peluang kepada pasukan lain dalam mendapatkan tempat di tangga teratas liga.

Antaranya, Negeri Sembilan FC yang merupakan satu lagi pasukan kejutan selain Sabah FC apabila sedang menduduki tangga ketiga walaupun baru sahaja beraksi dalam Liga Super musim ini.

Sentuhan magis pengendali berpengalaman, K. Devan jelas membuahkan hasil setelah skuad Jang Hobin mengumpul 35 mata daripada 18 perlawanan liga yang telah mereka tempuhi.

306453884_490195856322247_4700164507426948420_n

Sentuhan magis K. Devan membawa kegembiraan kepada penyokong skuad Jang. — Facebook/Negeri Sembilan Football Club

Di samping itu, kecemerlangan di bahagian pertahanan yang menampilkan pemain seperti Khair Jones dan Khuzaimi Piee menjadi antara punca kejayaan mereka.

Meskipun hanya berjaya menjaringkan 27 gol, penyokong pastinya tidak gusar akan perkara itu apabila kestabilan yang dibawa ketua jurulatih itu memberi kesan positif.

Jadi, tidak hairanlah apabila pasukan itu mula memasang impian untuk melihat pasukan yang tidak dipenuhi bintang kebangsaan itu meraih satu tahap lebih tinggi.

Namun, NSFC pasti berdepan tekanan tersendiri apabila mereka sudah sekian lama tidak mengejar tahap yang sebegitu tinggi selepas kali terakhir beraksi di Piala AFC pada 2006.

Perkara itu sama dengan situasi Sabah FC yang juga bakal berdepan saingan sengit dalam baki empat permainan dengan pertemuan bersama JDT akan menjadi tumpuan penonton bola sepak tempatan.

Terengganu FC

Kekecewaan Terengganu FC semasa berada di pentas akhir Piala FA menyebabkan peluang mereka untuk beraksi di Piala AFC musim depan secara automatik di atas kertas adalah terpadam.

Persembahan tidak bermaya dan kecemerlangan barisan pemain JDT menyukarkan skuad kendalian Nafuzi Zain untuk mengambil peluang itu dalam melayakkan diri ke pentas Asia.

Bagaimanapun skuad Sang Penyu masih berpeluang beraksi di pentas Asia jika mampu menamatkan saingan liga di tangga tiga teratas.

Pasukan yang berada di kedudukan keempat itu kelihatan selesa ketika beraksi dalam saingan liga apabila mereka mencatatkan lima kemenangan berturut-turut.

Sebanyak 15 mata yang dikumpul itu jelas menjadi anjakan kepada motivasi dan persembahan mereka di atas padang apabila ia diterjemahkan dengan 13 gol dijaringkan dan hanya dibolosi sekali.

Statistik itu menunjukkan kecemerlangan pasukan itu daripada kedua-dua aspek pertahanan dan serangan yang pastinya tidak membawa kerisauan kepada penyokong.

Bagaimanapun, dua cabaran perlu dihadapi mereka sekiranya mahu merealisasikan impian untuk beraksi di pentas Asia selepas kali terakhir pada 2012.

Pertama, masa depan Nafuzi Zain akan memberi kesan kepada moral dan pendekatan permainan sekiranya ia tidak diberi penjelasan kukuh dalam masa terdekat.

306585404_1548136405617035_3726771225016717066_n (1)

Nafuzi Zain masih berteka-teki dengan masa depannya. — Facebook/Terengganu FC

Sebelum ini, ketua jurulatih itu berkata, dia berkemungkinan besar tidak akan bersama skuad Sang Penyu musim depan selepas mengendali pasukan itu hampir lima tahun.

Perkara itu pastinya sedikit sebanyak membawa ketidak pastian kepada pemain yang tidak mahu melihat pengendali kelahiran Kelantan itu meninggalkan mereka.

Kedua, mereka juga perlu berdepan realiti dua pasukan di atas mereka, iaitu Negeri Sembilan FC dan Sabah FC sedang beraksi cemerlang.

Hal itu pastinya memberi tekanan buat pemain dan staf kejurulatihan untuk mengumpul mata maksimum dalam liga meskipun mereka mempunyai rekod konsisten dalam liga.

Sekiranya mereka berjaya menepis kedua-dua cabaran itu, pastinya berpeluang untuk beraksi di pentas Asia sekaligus menaikkan lagi nama pasukan berpangkalan di Pantai Timur itu.

KL City FC

Meskipun berada di kedudukan keenam, KL City FC dilihat sebagai pasukan yang lebih berpeluang untuk layak ke Piala AFC 2023 berbanding KDA FC.

Perkara itu melihat kepada kemampuan dan keazaman The City Boys yang mahu meneruskan kempen di samping pasukan serata Asia dengan menunjukkan kejayaan.

Kemaraan ke perlawanan akhir interzonal Piala AFC 2022 menunjukkan kematangan mereka meskipun sebelum ini bukanlah sebuah pasukan yang mencabar kejuaraan Liga Super.

Selain itu, kejayaan menjulang Piala Malaysia tahun lalu menunjukkan keupayaan ketua jurulatih, Bojan Hodak untuk melakukan sesuatu di luar jangkaan.

Jadi, tidak menjadi satu perkara aneh sekiranya mereka berjaya memintas beberapa pasukan lain dalam usaha mendapatkan slot untuk melayakkan diri ke kejuaraan itu.

301011172_5552735704769538_2237643212853243365_n

Kehilangan tonggak mampu memberi kesan besar buat The City Boys. — Facebook/Kuala Lumpur City FC

Namun, kesibukan jadual dan kekurangan pemain dalam setiap posisi menjadi salah satu penghalang buat KL City FC untuk mencatatkan kemenangan dalam empat baki perlawanan liga.

Kehilangan seorang tonggak pasti menjejaskan pendekatan taktikal dan rentak permainan yang cuba dilancarkan pengendali kelahiran Croatia itu.

Tambahan pula, keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengekalkan pengambilan dua pemain, Zhafri Yahya dan Declan Lambert seakan-akan sukar diterima.

Pihak pengurusan juga tidak mahu kedua-dua pemain itu dipanggil kerana bimbang mengalami kecederaan semasa aksi di Piala Raja Thailand mahupun semasa latihan.

Tetapi, bagi Hodak pemainnya pasti mampu membawa perbezaan dengan meneruskan kemaraan dalam melangkah ke pentas Asia musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram