'Dah macam Eropah', penyokong Sri Pahang puas ubi muda dijaga molek


  • Podium
  • Sabtu, 24 Sep 2022

Kemampuan yang ditonjolkan sepanjang berada dalam Akademi Bolasepak Rhino membolehkan mereka dibawa ke tahap lebih tinggi. — Facebook/Sri Pahang FC

SALAH satu elemen penting dalam sukan bola sepak ialah kemampuan dan kualiti barisan pemain yang diturunkan menjadi faktor utama kejayaan sesebuah pasukan.

Bagi memperolehi pemain berkualiti, pelaburan daripada pihak pengurusan ketika jendela perpindahan menjadi taruhan sekiranya bercita-cita tinggi untuk mendapatkan calon sesuai daripada segi taktikal.

Selain itu, program pembangunan yang diterapkan di peringkat akar umbi juga mampu menjadi sandaran untuk memastikan barisan pemain mempunyai kualiti bersesuaian.

Dalam landskap bola sepak tempatan, pasukan simpanan yang dibenarkan beraksi di Liga Perdana dilihat mampu menjadi batu loncatan kepada pemain muda dalam meraih pengalaman serta mendapatkan minit-minit permainan.

Perkara itu terbukti berhasil apabila terdapat limpahan pemain muda dalam skuad Liga Super seperti Arif Aiman Hanapi untuk Johor Darul Takzim (JDT) dan Sharul Nazeem Zulpakar yang bermain bersama Selangor FC.

Oleh itu, tidak timbul persoalan sekiranya langkah itu mula diambil pasukan-pasukan lain yang turut berhasrat untuk mengecapi kejayaan.

Antaranya, Sri Pahang FC yang sememangnya sudah mempunyai kelengkapan dan fasiliti sesuai untuk melahirkan bakat-bakat baharu untuk diserap ke pasukan senior pada masa depan.

308628802_5614760665251248_4310151040392480776_n

Aqil Syafiq (kiri duduk), Bradley Frank dan Syahir Syafiq mempunyai masa depan cerah dalam arena bola sepak tempatan. — Facebook/Sri Pahang FC

Pasukan yang pernah melahirkan pemain seperti penjaga gol Selangor FC, Khairulazhan Khalid dan pemain tengah, Azam Azih menerusi program pembangunan pastinya tidak mahu kejayaan mereka untuk mengembangkan bakat disia-siakan begitu sahaja.

Baru-baru ini, pihak pengurusan Tok Gajah meneruskan objektif mereka untuk mengasah bakat muda apabila mereka membawa masuk tiga pemain cilik daripada Akademi Bolasepak Rhino.

Meskipun baru berusia 11 tahun, kesemua yang dibawa masuk itu menunjukkan prestasi dan kebolehan yang cemerlang apabila muncul sebagai juara dalam pertandingan bola sepak tujuh sebelah Akademi Profesional JSSL Singapura awal bulan lalu.

Tiga pemain tersebut, iaitu Aqil Syafiq, Syahir Sharif dan Bradley Frank dilihat sebagai prospek cemerlang pasukan sekaligus memuaskan hati penyokong yang menyokong langkah jangka panjang pengurusan Sri Pahang FC.

Seorang penyokong, Ahmad Izzuddin Ams II menyokong pengambilan itu dengan mengatakan ia adalah satu perkara yang sering diamalkan kelab-kelab dalam liga serata benua Eropah.

"Bila saya lihat cara pengurusan pihak atas Sri Pahang FC, ia mengingatkan saya pada pasukan dalam Bundesliga, betul-betul sama dengan apa yang mereka lakukan," katanya.

Arriez Eiz'One Syah juga menyokong hal itu selain mengharapkan proses pembangunan kesemua pemain dalam akademi tidak dipandang remeh kerana mereka mempunyai bakat terpendam.

"Untuk Sri Pahang FC, mohon proses pembangunan dilakukan secara bersungguh-sungguh dengan pemain dari akar umbi lagi. Jaga molek ubi-ubi muda semua ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram