LEMAH, tidak bersemangat dan tiada 'tulang belakang', itulah sedikit kata-kata yang boleh menggambarkan situasi Sarawak United FC (SUFC) sepanjang musim ini.
Isu tunggakan gaji sebelum ini juga dikatakan sebagai ibu segala masalah buat pasukan itu sehingga memberi kesan buruk kepada prestasi pemain di atas padang dalam setiap perlawanan.
Dalam saingan Liga Super, mereka berada di kedudukan ke-11 selepas hanya mengumpul 14 mata daripada 18 perlawanan selain merekodkan 12 kekalahan.
Penyingkiran awal daripada saingan Piala FA di tangan Johor Darul Takzim turut memberi kehampaan kepada penyokong yang tidak henti-henti memberi dorongan dan motivasi kepada pemain.
Tidak cukup dengan itu, kehilangan kapten, Boris Kok ketika pertengahan musim menimbulkan 1001 tanda tanya yang tidak diberi sebarang jawapan oleh pihak pengurusan.
Pemain kebangsaan Kemboja yang dikatakan bercuti di Perancis untuk menemani isterinya adalah satu figura penting di atas padang melihat kepada sumbangannya sebagai pemain pertahanan.
Namun, pada 24 Ogos lalu, Boris akhirnya memecahkan kebisuan apabila dia mengatakan pihak pengurusan tidak menyelesaikan isu tunggakan gaji sehingga menyukarkannya untuk pulang bagi menyertai pasukan.
Perkara tersebut berikutan tiada tindakan yang diambil untuk membawanya pulang meskipun terdapat perjanjian untuk membayar tiket penerbangan untuk menghadapi saingan Liga Super.
Mesej Boris Kok pada laman media sosial peribadinya. — Instagram/boris_kok
Pemain berjersi no. 29 itu sekali lagi meluahkan isi hatinya menerusi media sosial pada Sabtu dengan mengatakan dia sudah kembali bersama skuad Ngap Sayot.
"Kembali berlatih di Sarawak bersama pasukan saya selepas kesemua isu sudah diselesaikan, harapnya sikap hormat menghormati di antara kedua-dua pihak berlanjutan sehingga tamat musim.
"Terima kasih kepada kesemua penyokong bola sepak tempatan yang memberikan dorongan dan mesej membina semangat menerusi media sosial, kamu telah membantu kami dengan cukup banyak, terima kasih," katanya.
Perkara itu semestinya menyentuh hati penyokong yang tidak henti-henti bertanya akan situasi dan kebajikan pemain Ngap Sayot berikutan isu tunggakan gaji itu.
"Selamat pulang juaraku, saya sangat menghormati gaya pemikiran sebegini dan saya juga berharap pihak pengurusan tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama berkali-kali," kata Domz Dominic.
"Boris Kok merupakan seorang pemain yang cukup bagus dan sangat memahami. Jadi, saya harap anda gembira semula dan sertai pasukan SUFC sekali lagi," kata Mohd Rahman.
"Harapnya Boris akan kekal buat satu musim lagi kerana musim depan akan lebih mencabar dengan jumlah permainan yang semakin banyak berbanding tahun ini," kata Anderson Ley.
SUFC selepas ini bakal bertandang ke Stadium Cheras untuk bertemu dengan pasukan di tempat kelima, KL City FC dalam usaha melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia yang bakal berlangsung hujung tahun ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram